Alhamdulillahi Robbil A'lamin segala puji bagi Allah SWT yang maha pengurnia dengan sekian banyak nikmat dan kasih sayang kepada seluruh hambaNya, selawat dan salam kepada junjungan kita nabi Muhammad SAW utusan agung pembimbing kehidupan manusia menuju cahaya kebenaran serta kepada generasi sesudah baginda yang berterusan menyampaikan dakwah memberi nasihat kepada ummah.
|
Kad jemputan digital program qurban SDPA 2019 |
Syukur kepada Allah SWT, hajat untuk melaksanakan Program Ibadah Qurban peringkat sekolah telah dapat dilaksana dengan jayanya pada 11 Zulhijjah 1440H (12 Ogos 2019 -Isnin) yang lalu. Program yang julung-julung kalinya diadakan di Sekolah Datuk Panglima Abdullah (SDPA) dibawah kelolaan Panitia Pendidikan Islam telah mendapat sokongan padu daripada warga sekolah secara keseluruhan. Bermula seawal jam 7.30 pagi guru dan pelajar bersama-sama berkumpul di perkarangan flat guru untuk memulakan program tersebut. Pada edisi qurban kali ini, tiga ekor lembu berjaya disembelih untuk diqurbankan. Perancangan gerak kerja dan kutipan bulanan para peserta qurban yang membabitkan 21 orang peserta terdiri dari kalangan guru dan AKP telah dilaksanakan sejak Januari lagi untuk memudahkan pengurusan dan bayaran tempahan lembu kepada pihak pembekal.
|
Para guru bekerjsama menjatuhkan lembu untuk disembelih |
|
Proses melapah ditunjukkan oleh Ust. Shamie kepada para pelajar |
|
Pembungkusan daging qurban oleh para pelajar |
Sambutan dari kalangan warga sekolah pada program pertama kalinya diadakan ini amat memberangsangkan. Para guru dan pelajar bersama-sama bekerjasama dalam menjayakan aktiviti sepanjang program ini berlangsung antaranya menyediakan jamuan serta masakan, menyembelih, melapah dan membungkus daging qurban. Praktikal sembelihan juga dapat didedahkan kepada para pelajar iaitu teknik sembelihan serta membaringkan lembu dapat ditunjukkan. Ini dapat memberi lebih kefahaman kepada mereka khusunya pelajar tingkatan empat dan lima kerana topik sembelihan terkandung dalam silibus pendidikan islam yang mereka pelajari di bilik darjah. Selain itu, para pelajar dapat menimba pengalaman untuk menguruskan agihan daging qurban berdasarkan bahagain-bahagian yang ditetapkan syarak. Justeru, pengalama ini membolehkan mereka mengaplikasi hukum qurban serta pelaksanaanya yang menepati kehendak syarak.
|
Sembelihan lembu kedua dilakukan oleh Ust. Faizal |
|
Tunjuk cara menjatuhkan dan membaringkan lembu ditunjukkan oleh Cg. Moktar, Ust. Fadhli dan Cg. Mohd Nazri |
Daging qurban diagihkan kepada kejiranan kuaters guru SDPA dan kumpulan pelajar yang hadir dalam program ini. Sekitar jam 1.00 petang jamuan makan diadakan dengan hidangan daging masak kunyit dan sup tulang yang disediakan oleh kumpulan guru perempuan diketuai Cg. Saleha dan dibantu oleh pelajar perempuan. Sesungguhnya program ini dilihat berjaya menepati objektifnya yang antara lain untuk mengeratkan silahturrahim dalam kalangan warga sekolah yang terdiri daripada pelajar, guru dan AKP. Benih kesyukuran sudah mula disuburkan menerusi program seperti ini yang bersifat penghayatan kepada semangat pengorbanan menerusi iktibar kisah nabi Ibrahim a.s dan puteranya Ismail a.s, mudah-mudahan menjadi motivasi kepada warga sekolah dalam bersungguh-sungguh melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT.
|
Aktiviti memasak dilaksanakan oleh AJK Jamuan diketuai oleh Cg. Saleha |
|
Hidangan daging masak kunyit dan sup tulang |
|
Guru dan pelajar bersama-sama menikmati jamuan makan |
|
Agihan daging qurban kepada kumpulan pelajar |
|
Agihan daging qurban kepada guru dan kejiranan kuaters SDPA |
Bagi pihak Pantia Pendidikan Islam SDPA dan penyeleras program mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada seluruh warga sekolah atas komitmen yang diberikan sehingga melancarkan dan memudahkan gerak kerja program ini dilaksanakan dengan jayanya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua. Semoga Allah SWT sentiasa memayungi kehidupan kita semua dengan barokah dan rahmat dari sisiNya, sekaligus kita mengharapakan segala usaha dan amal ibadah kita diterima olehNya. Hanya kepada Allah SWT jualah segalanya kita sandarkan supaya menjadi saksi pada pengabdian diri sebagai hambaNya. Mudah-mudahan program ini akan berterusan pada masa-masa mendatang. Wallahu bihi musta'an.