Rabu, 16 Oktober 2019

Remaja dan Zaman



Mukaddimah dalam menyampaikan ceramah kepada para pelajar
14 Oktober 2019 (Isnin)- Aktiviti pasca PT3 dikendalikan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling (UBK) SDPA sebagai pengisian kepada pelajar-pelajar tingkatan 3. Antara pengisian yang dirancang dlam program ini adalah siri taklimat setiap matapelajaran yang disampaikan oleh guru-guru subjek berkenaan. Pada hari ini, slot Pendidikan Islam mengambil tempat untuk menyampaikan ceramah yang mengupas berkaitan fasa kehidupan remaja.

Rasional pemilihan tajuk ini adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada para pelajar agar dapat mengenal pasti potensi diri masing-masing untuk dibangunakan lalu memberi manfaat kepada kehidupan pada masa akan datang. Selain itu, ianya juga memberi penekanan kepada aspek pengurusan diri supaya dapat ditingkatkan dan ditambahbaik. Keseluruhan pengisian ini adalah berpaksikan kepada asas penghayatan dan pengamalan agama yang dipandu menerusi al-quran dan sunnah nabi SAW. Oleh hal yang demikian, ceramah yang disampaikan menjurus kepada nilai-nilai agama yang cuba dibentangkan dengan menggarapnya dalam realiti kehidupan dan trend remaja masakini. Hal ini kerana, agama sama sekali tidak mengkesimpangkan fitrah kehidupan manusia yang inginkan pelbagai kehendak dalam hidup ini. Justeru, realiti dan trend kehidupan masakini haruslah dipandu dengan bimbingan nilai agama yang komprehensif agar memberi kesan baik serta manfaat kepada pembangunan individu dan ummah.

Persoalan yang mendasari sesi ceramah ini adalah berkisar berkaitan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang kian membimbangkan. laporan akhbar saban hari yang memaparkan salahlaku dan jenayah yang melibatkan remaja sudah menjadi perkara biasa untuk ditatapi. Terbaharu, seperti yang dilaporkan akhbar Metro (Zuliaty Zulkiffli, 17 Oktober 2019) sekumpulan remaja terdiri daripada sembilan  lelaki dan tiga perempuan yang tidak mempunyai hubungan mahram menyewa sebuah bilik hotel dan disyaki terbabit dengan gejala tidak sihat (https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/507807/check-ramai-ramai). Kesemua mereka berusia antara 16 hingga 19 tahun yang mana peringkat usia ini menunjukkan bahawa mereka adalah terdiri daripada pelajar sekolah menengah (tingkatan empat hingga enam). Salahlaku sebegini memperlihatkan kurangnya penghayatan agama dalam diri remaja sehingga berani untuk melanggari batasan agama dalam soal pergaulan. Justeru, menerangkan hikmah disebalik syariat agama perlu dibentangkan kepada remaja agar menjadi benteng diri daripada melakukan maksiat yang mengundang dosa dan murka Allah SWT.

Hakikat pengetahuan agama yang benar akan menjadi pembimbing dalam menjalani kehidupan. Justeru, pada fasa perkembangan remaja yang kompleks ini nilai tindakan perilaku haruslah diimbangi dengan nilai-nilai agama yang tujuannya adalah untuk meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Hal ini sepertimana yang dapat difahami menerusi firman Allah SWT;
"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu." (Surah Az-Zaariyat:56) 
Tambahan lagi, pelajar tingkatan tiga bagi tahun 2019 ini adalah merupakan kohort pertama yang menerima perubahan kurikulum pendidikan kebangsaan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang menggantikan kurikulum lama iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Kepada mereka ini wajar diberi pengetahuan dan maklumat sesuai dengan perkembangan semasa. Perubahan kurikulum ini adalah sebagai satu proses penambahbaikan sistem pendidikan negara dalam aspek pembelajaran murid dan kaedah pengajaran guru. Ia secara langsung menumpukan kepada kepada teras utama iaitu a) komunikasi b) nilai dan akhlak c) kemanusiaan d) keterampilan diri e) perkembangan fizikal dan estetika f) sains dan teknologi. untuk dibangunkan demi menyiapkan para pelajar dalam mendepani cabaran akan datang (DSKP, KPM, 2019).

Menerusi KSSM, pelajar bukan sahaja dipandu dalam memperkembangkan bakat dan kemahiran semata-mata. Malahan kurikulum ini mencakup aspek kognitif iaitu lebih menjurus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Secara ringkasnya, pemikiran kreatif dan kritis wajar diberi penekanan dalam arus pendidikan semasa untuk melahirkan generasi yang mampu menjana idea dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Hal ini sudah tentu memerlukan kepada satu cara berfikir yang sistematik, tersusun dan analitikal. Justeru,  pendekatan dalam KBAT mampu membiasakan untuk mereka berfikir dengan cara yang betul, sekaligus menambah kematangan  dalam tindakan mereka.

Selain itu, KBAT juga dapat dijadikan landasan untuk menerapkan penghayatan aspek akidah dalam kalangan pelajar yang seterusnya akan membentuk kefahaman yang mantap bertepatan dengan syariat Allah SWT (Mohd Syaubari Othman et al, 2016). Hal ini juga menggambarkan kepada kita bahawa KBAT adalah sebahagian daripada usaha untuk membentuk world view yang selari dengan aturan agama sehingga membentuk kefahaman yang utuh terhadap keyakinan kepada Allah SWT dan syarak. Selain itu, secara langsung hal ini terkait dengan pemikiran falsafah yang menjadi acuan untuk berinteraksi kepada realiti kehidupan dalam menangani cabaran semasa (Asmawati, 2012).

Para pelajar memberi tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.
Tuntasnya, pembangunan diri remaja haruslah diberi perhatian yang sewajarnya khususnya pada sistem pendidikan sedia ada. Persaingan menempatkan diri dalam ledakan revolusi Industri (IR 4.0) pada era ini memerlukan kepada modal insan berkualiti. Ini termasuk memiliki kebolehpasaran kemahiran diri dan pola fikir yang futuristik supaya mampu beradaptasi gelombang kemajuan yang semakin pantas. Selain itu, nilai keperibadian tinggi yang disaduri ketaatan dalam beragama- yang mengimani Allah SWT semata-mata,  tentu sahaja menjamin peningkatan kualiti hidup yang harmoni, bertamadun dan sejahtera dalam memacu pembangunan negara dan masyarakat.

Mengkodifikasi kesalahan dalam menulis jawapan pendidikan islam SPM: Tinjauan untuk kelas 5 Teratai

proses pemeriksaan dan penandaan skrip jawapan dijalankan untuk mendapatkan gambaran penguasaan calon dalam topik-topik yang diuji     Dua m...