Abad ke-21 menyaksikan cabaran datang dari segenap sudut dan lapangan yang melatari era globalisasi. Ia telah mencetuskan kepada satu keadaan dunia tanpa sempadan dan bersifat antarabangsa seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan informasi (ICT) (Mardhiah et. al, 2016). Justeru, untuk mendepani zaman ini ia memerlukan kepada kesediaan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang tinggi supaya dapat berdaya saing (kompeten) dalam pelbagai bidang yang ditawarkan. Demikian keperluan yang perlu dipersiapkan kepada generasi akan datang haruslah diberi tumpuan dan dirancang dengan sebaiknya agar dapat melahirkan masyarakat yang dapat memakmurkan kehidupan dan memajukan negara. Pada masakini pelbagai kemudahan tersedia seiring perkembangan teknologi ICT dan sains dalam memenuhi kegiatan harian. Industrial revolution (IR 4.0) ketika ini sedang giat dikembangkan dalam pelbagai sektor yang mana pihak kerjaaan mahupun swasta turut berperanan dalam mengkaji dan memperhebat penyelidikan agar manfaatnya dapat digunakan dalam segenap urusan pentadbiran, pekerjaan dan kemudahan harian masyarakat (Ibrahim, 2016). Khususnya dalam sektor pekerjaan, dianggarkan 65% generasi muda masakini yang berada pada tahap pendidikan pertengahan akan memiliki kerjaya yang sebelum ini belum pernah wujud (World Economic Forum, 2020). Demikian dalam bidang pendidikan sudah semestinya perkembangan ini akan memberi kesan langsung kepada hala tuju pendidikan itu sendiri - iaitu sekurang-kurangnya mengubah gaya penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya proses pendidikan (untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran) dapat dilaksanakan secara optimum (Noradilah & Lei Wei Sieng, 2019). Oleh hal yang demikian, dengan menunjangi falsafah pendidikan kebangsaaan (FPK) sebagai asas dalam melahirkan individu, masyarakat dan negara yang ideal (Saharia, 2015) pendidikan islam dilihat sebagai satu matapelajaran (diperingkat sekolah dan kurikulum) yang wajar diberi penekanan kerana ia jelas menggariskan aspek pembangunan insan secara holistik sebagai khalifah Allah di muka bumi menerusi penghayatan ilmu, nilai dan amalannya (Abdul Halim El-Muhammady, 1993; Basri Husin, 2009; Mahmudi, 2019). Justeru, perkembangan teknologi era ini perlu dimurnikan daripada unsur-unsur yang merosakkan minda dan pemikiran serta pengaruh agresif yang merencatkan usaha pembentukan nilai-nilai murni untuk melahirkan generasi yang unggul.
Dunia tanpa sempadan dengan teknologi komunikasi
Menurut Shamsul et. al (2004) walaupun hakikatnya dunia masih memerlukan sempadan negara-negara (dari aspek geografi) namun kemajuan dalam globalisasi haruslah dimanfaatkan untuk mentransformasikan masyarakat baik dalam bidang ekonomi dan proses pembinaan ilmu. Kepesatan pembangunan teknologi komunikasi membolehkan proses pembelajaran boleh berlangsung di mana-mana. Hari ini pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PDPR) yang diperkenalkan ekoran penularan wabak covid-19 wajar diuruskan dengan sebaiknya. Kaedah penyampaian yang berkesan perlu diterapkan oleh setiap guru agar kandungan kurikulum dapat disampaikan kepada para pelajar dengan menyeluruh dan objektif. Dipihak kerajaan pula adalah diharapkan agar penambahbaikan prasaranan jalur lebar digiatkan khususnya di kawasan-kawasan yang sukar untuk menerima rangkaian telefon dan internet, dan usaha ini perlu digembleng bersama-sama pihak swasta agar penyediaan kemudahan ini dapat dilakukan secara progresif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan