Rabu, 19 Mei 2021

DIMENSI GENERASI TERDAHULU DALAM AMALAN BERMASYARAKAT

budaya perlu dijaga dengan dimurnikan dengan asas syariat yang kukuh agar tradisi dapat bertahan lalu mengangkat pengabdian diri kepada tuhan

Kegiatan hidup sehari-hari oleh manusia sudah pasti memerlukan suatu sistem tatacara pengurusan tertentu supaya dapat mempermudahkan segala aktiviti yang dilakukan. Sistem kehidupan yang pastinya mengikut acuan dan nilai syariat tentu saja menjamin kesejahteraan berpanjangan khususnya dalam hidup bermasyarakat. Demikianlah para rasul diutus oleh Tuhan supaya antara lainnya menjadi qudwah kepada seluruh umat untuk menuju kepada sistem hidup yang membahagiakan berpaksi kepada suruhan-suruhan Tuhan (Allah SWT).

Tiada satu perkara pun yang terlepas daripada bimbingan agama. Dari perkara kecil misalnya adab menjamah makanan hatta kepada perkara menguruskan negara (kepimpinan) diterangkan secara jelas agar tiap manusia dapat mempraktikkan dalam kehidupan. Asasnya adalah penghayatan kepada diri sebagai hamba dan Allah SWT sebagai sang pencipta (Al-Khaliq). Kerana dengan hal tersebut Allah SWT akan menurunkan rahmat dan barakahNya.

Dunia akan terus beredar dengan zamanya, demikan jua waktu (masa) yang relatif sifatnya hanya akan meninggalkan bekas-bekas peristiwa dalam kehidupan manusia. Apa yang pastinya, hidup tidak selamanya hakikat kematian itu pasti. Saat kita mengendalikan penghidupan tatacara yang terbaik perlu dipraktiskan. Segala bentuk transaksi sesama anggota masyarakat (baca: muamalah) perlu diuruskan dengan sebaiknya. Muafakat antara masyarakat hanya akan bertahan jika nilai-nila dalam kehidupan bersama dilangsungkan dengan penuh adab, toleransi, ketelusan dan sekian banyak nilai-nilai baik yang lainnya. Maka agama sudah menjelaskan hal-hal demikain itu.

Perpecahan, dendam yang tidak berkesudahan serta saling menjatuhkan sering dapat kita saksikan dalam realiti kehidupan masyarkat semasa. Agak kurang teliti andai saja kita mengaitkan semua itu berlaku dek kerana nafsu yang tidak terkawal semata-mata. Bahkan lebih dari itu antara punca yang menimbulkan konflik dalam masyarakat kini adalah soal tindakan kita dalam menguruskan sesuatu isu. Mengambil contoh dalam urusan kekeluargaan (persaudaraan) terdapat beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak berpuas hati misalnya perjanjian pembelian sebidang tanah dengan hanya sekadar ikatan 'janji lisan' sahaja yang dilakukan generasi terdahulu, akibatnya dikemudian hari yang mendatang ia boleh mencetuskan pertelingkahan kerana isu 'janji lisan' antara generasi terdahulu gagal diuruskan dengan sebaiknya. Ironinya, generasi dahulu sering dirujuk sebagai kelompok zaman yang tinggi adab susila dan kesantunan tetapi mengapa panduan dalam agama saat berurusan diketepikan?. Bahkan agama secara lengkap telah membentangkan tatacara kehidupan (muamalah) yang dapat dijadikan panduan untuk semua pihak untuk berurusan sekaligus ia dapat membudayakan nilai-nilai diri mulia kepada tiap anggota dalam masyarakat. Lebih dari itu, sikap toleransi, jujur, amanah dan telus dapat pula ditanamkan kepada generasi yang mendatang justeru akhirnya akan mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni baik dalam ikatan persaudaraan mahupun dalam masyarakat keseluruhannya.

Sewajarnya saranan agama saat bermuamalah adalah menjadi asas dan keperluan utama dilakukan untuk mempermudahka setiap transaksi kehidupan. Sememangnya dalam kehidupan ini adakalanya direntangi dengan pelbagai isu, permasalahan dan cabaran. Namun, solusi terbaik dalam mengendalikan apa jua yang berlaku adalah bebalik kepada fitrah manusia sebagai hamba dan agama sebagai tunjang pedoman untuk meluruskan kembali mana-mana bahagian yang telah tersasar dari matlamat asalnya (mengabdi diri kepada Tuhan). Justeru, setiap anggota dalam masyarakat perlu mengambil peduli akan hal ehwal menguruskan sebarang perkara dalam transaksi harian, lebih-lebih lagi bagi golongan muda supaya sertiap perkara dapat dilangsungkan dengan suasana yang baik dan terpelihara daripada sebarang bentuk yang dapat mencalarkan kemurnian institusi persaudaraan.

Risiko yang tidak dapat dielakkan saat berurusan yang hanya didasari dengan 'janji lisan' adalah sejauhmana pihak yang telibat terus kekal dengan terma dan syarat yang telah dipersetujui pada masa akan datang. Dalam kebanyakkan kes yang telah berlaku memperlihatkan terdapat pihak yang akan tidak konsisten dengan perjanjian dibuat pada suatu ketika yang telah lalu. Betapa hal ini akan memberikan kesulitan yang akibatnya akan memunculkan perasaan tidak adil, tidak puas hati dan tidak amanah berlaku dalam masyarakat.

Khamis, 5 November 2020

(RINGKASAN ARTIKEL) Online pitey and its discontent: revisiting Islamic anxieties on Indonesian social media.

SUMBER:

Fatimah Husein & Martin Slama (2018) Online piety and its discontent:

revisiting Islamic anxieties on Indonesian social media, Indonesia and the Malay World, 46:134,

80-93, DOI: 10.1080/13639811.2018.1415056

To link to this article: https://doi.org/10.1080/13639811.2018.1415056

 

 

Disediakan oleh:

Mohd Faizal b. Sarail[1]

SMK Datuk Panglima Abdullah

mfaizalsarail@gmail.com

 

RINGKASAN ARTIKEL:

Media Sosial (medsos) seperti WhatsApp dan facebook sering digunakan oleh sesetengah kumpulan sukarela untuk menggerakkan kerja-kerja dakwah mereka seperti dalam hal memberi pertolongan -iaitu dalam bentuk sedekah (kebajkan) kepada golongan yang memerlukan mahupun untuk  aktiviti bersifat ibadah seperti tilawah al-quran secara harian – One Day One Juz (ODOJ). Di indonesia pengunaan medan medsos berjaya memberi kesan positif untuk menarik lebih ramai orang untuk bersama-sama melakukan amalan kebaikan. Penggunaan medsos dalam praktis kegiatan sedekah atau kebajikan pada masakini adalah untuk tujuan memotivasi kepada khalayak ramai supaya turut sama menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan (needy people). Ia bukanlah semata-mata bertujuan untuk menunjukkan atau mempamerkan kebaikan yang dilakukan supaya mendapat pujian sanjungan daripada masyarakat. Kerana hal sedemikan adalah haram disisi agama islam dan jelas mencacatkan keikhlasan dalam melakukan ibadah yang sepatutunya dilakukan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT  seperti mana yang diperingatkan oleh hujjahtul islam Imam al-Ghazali rahimallahu alaih. Sifat riya’ yang dikhuatiri akan terlahir dalam setiap tindakan ke atas amalan baik yang dilakukan nampaknya telah sedia dimaklumi oleh semua organisasi yang terlibat dengan kerja-kerja dakwah ini. Tegasnya, sifat riya' adalah persoalan hati bagi tiap individu yang secara hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Justeru, soal keikhlasan tiap individu hanya dapat ditentukan melalui niat (juga melalui hati) untuk melakukan sesuatu pekerjaan/amalan itu sendiri. Selain itu, tindakan sesetengah badan-badan kebajikan untuk menghebahkan kerja dakwah yang dilakukan dalam medsos masing-masing adalah untuk memberi galakkan serta promosi kepada para netizan dan masyarakat supaya kutipan dana meningkat sekligus dapat menampung  lebih banyak kumpulan yang memerlukan bantuan. Sesungguhnya, medsos hanyalah sekadar wadah baru untuk menginterpretasi jalan dakwah pada era kini agar dapat membudayakan ibadah islam ke dalam kehidupan ummah.



[1] Guru Pendidikan Islam, Ketua Panitia Pendidikan Islam (SMKDPA)

Rabu, 21 Oktober 2020

PENDIDIKAN ISLAM DALAM DIMENSI CABARAN SEMASA: IMPLIKASI PERKEMBANGAN DUNIA TEKNOLOGI TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN IDEAL


Pengenalan

Abad ke-21 menyaksikan cabaran datang dari segenap sudut dan lapangan yang melatari era globalisasi. Ia telah mencetuskan kepada satu keadaan dunia tanpa sempadan dan bersifat antarabangsa seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan informasi (ICT) (Mardhiah et. al, 2016). Justeru, untuk mendepani zaman ini ia memerlukan kepada kesediaan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang tinggi supaya dapat berdaya saing (kompeten) dalam pelbagai bidang yang ditawarkan. Demikian keperluan yang perlu dipersiapkan kepada generasi akan datang haruslah diberi tumpuan dan dirancang dengan sebaiknya agar dapat melahirkan masyarakat yang dapat memakmurkan kehidupan dan memajukan negara. Pada masakini pelbagai kemudahan tersedia seiring perkembangan teknologi ICT dan sains dalam memenuhi kegiatan harian. Industrial revolution (IR 4.0) ketika ini sedang giat dikembangkan dalam pelbagai sektor yang mana pihak kerjaaan mahupun swasta turut berperanan dalam mengkaji dan memperhebat penyelidikan agar manfaatnya dapat digunakan dalam segenap urusan pentadbiran, pekerjaan dan kemudahan harian masyarakat (Ibrahim, 2016). Khususnya dalam sektor pekerjaan, dianggarkan 65% generasi muda masakini yang berada pada tahap pendidikan pertengahan akan memiliki kerjaya yang sebelum ini belum pernah wujud (World Economic Forum, 2020). Demikian dalam bidang pendidikan sudah semestinya perkembangan ini akan memberi kesan langsung kepada hala tuju pendidikan itu sendiri - iaitu sekurang-kurangnya mengubah gaya penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya proses pendidikan (untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran) dapat dilaksanakan secara optimum (Noradilah & Lei Wei Sieng, 2019). Oleh hal yang demikian, dengan menunjangi falsafah pendidikan kebangsaaan (FPK) sebagai asas dalam melahirkan individu, masyarakat dan negara yang ideal (Saharia, 2015) pendidikan islam dilihat sebagai satu matapelajaran (diperingkat sekolah dan kurikulum) yang wajar diberi penekanan kerana ia jelas menggariskan aspek pembangunan insan secara holistik sebagai khalifah Allah di muka bumi menerusi penghayatan ilmu, nilai dan amalannya (Abdul Halim El-Muhammady, 1993; Basri Husin, 2009; Mahmudi, 2019). Justeru, perkembangan teknologi era ini perlu dimurnikan daripada unsur-unsur yang merosakkan minda dan pemikiran serta pengaruh agresif yang merencatkan usaha pembentukan nilai-nilai murni untuk melahirkan generasi yang unggul.


Dunia tanpa sempadan dengan teknologi komunikasi


Menurut Shamsul et. al (2004) walaupun hakikatnya dunia masih memerlukan sempadan negara-negara (dari aspek geografi) namun kemajuan dalam globalisasi haruslah dimanfaatkan untuk mentransformasikan masyarakat baik dalam bidang ekonomi dan proses pembinaan ilmu. Kepesatan pembangunan teknologi komunikasi membolehkan proses pembelajaran boleh berlangsung di mana-mana. Hari ini pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PDPR) yang diperkenalkan ekoran penularan wabak covid-19 wajar diuruskan dengan sebaiknya. Kaedah penyampaian yang berkesan perlu diterapkan oleh setiap guru agar kandungan kurikulum dapat disampaikan kepada para pelajar dengan menyeluruh dan objektif. Dipihak kerajaan pula adalah diharapkan agar penambahbaikan prasaranan jalur lebar digiatkan khususnya di kawasan-kawasan yang sukar untuk menerima rangkaian telefon dan internet, dan usaha ini perlu digembleng bersama-sama pihak swasta agar penyediaan kemudahan ini dapat dilakukan secara progresif.



Selasa, 13 Oktober 2020

Sebelum akhir (mengenang subuh)



Jiwa punya hak untuk diberikan
Jasad pula punya hak untuk dikekarkan
keduanya saling berpaut
demi
Menjadi sosok yang selalu tunduk dengan dustur Ilahi
Menjadi pekerti yang indah ditatap alam semesta

Dengan bersaksi mereka yang tercipta dari nur
sebagai bekal di alam abadi..

Rabu, 30 September 2020

PRN Sabah ke-16: Mengatasi Pandemik Covid-19

Hari ini memasuki hari kelima pasca pilihanraya negeri (PRN) Sabah yang ke-16. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada BN, PN dan PBS telah berjaya memperoleh 38 kerusi dimenangi berbanding Warisan Plus yang terdiri Parti Warisan Sabah (Warisan), PKR dan UPKO yang memperoleh 32 kerusi. Manakal calon bebas memenangi 3 kerusi. Menerusi perolehan majoriti mudah oleh GRS maka gabungan ini mampu membentuk kerajaan negeri yang baharu. Maka secara rasminya DSP Hj. Hajiji Mohd Noor (ADUN Sulaman) telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri yang baharu menggantikan DSP Shafie Hj. Apdal (ADUN Senallang).

PRN Sabah yang dilakasanakan pada kali ini agak mencabar kerana dunia sedang berhadapan ancaman pandemik Covid-19. Virus yang bermula di wilayah Wuhan, China ini telah merebak ke seantero dunia dengan peningkatan kes yang mendadak lalu memaksa penutupan beberapa sektor sehingga memberi kesan langsung kepada ekonomi sesebuah negara. Malaysia amnya tidak terlepas daripada kemelut pandemik ini, khususnya di Sabah pelbagai lapisan masyarakat terjejas pendapatan. Lebih-lebih lagi sektor pelancongan yang mana negeri di bawah bayu ini amat terkenal dengan keindahan pulau-pulau yang menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negeri. Keadaan ini telah menyebabkan beberapa agensi pelancongan menutup operasi mereka disebabkan tidak mampu lagi menanggung kos operasi syarikata masing-masing. Mujurlah bantuan kerajaan menerusi pelan PENJANA dapat meringankan sedikit beban mereka ini.

Berbalik kepada perbincangan awa, mengenai PRN Sabah. Kita dapat menyaksikan persaingan sengit diantara dua kelompok utama dalam pemilihan kali ini. Iaitu GRS dan Warisan Plus, yang mana kedua-dua gabungan dalam dua blok ini mempunyai penyokong masing-masing. Sebanyak 73 kerusi dipertandingkan berbanding hanya 63 kerusi pada PRU-14 yang lalu selepas persempadanan semula oleh SPR. Ramalan awal oleh Ilham Centre iaitu sebuah badan penyelidik politik bebas mengatakan Warisan Plus mengatasi GRS dengan kelebihan 23 kerusi yang mereka istilahkan sebagai 'clear winner'. kupasan lanjut boleh dirujuk di sini (https://ilhamcentre.info/persaingan-sengit-warisan-plus-di-hadapan/?fbclid=IwAR1pB_1op7orGWjeaV--4N_oCXGcTrB_-jSsFsb2fziXpX89hAaNhufVeNE). Namun, keputusan rasmi telah pun diketahui dengan rasminya justeru yang penting dan lebih utama ketika ini adalah langkah untuk memperkasakan pembangunan negeri serta fokus kepada usaha untuk megekang penularan pandemik covid-19. Rakyat sangat mengharapkan keprihatinan pihak kerajaan baharu untuk membela nasib mereka tidak kira di desa, pinggir bandar mahupun di bandar. Keadaan yang rencam ketika ini membayangi kehidupan masyarakat perlu dibela dan diuruskan dengan sebaiknya


Khamis, 30 Julai 2020

lunas undang-undang

saat ini PERUNDANGAN mula teruji kefungsiannya. 
PERLEMBAGAAN dan AKTA saja yang mampu tentukan jawaban bagi keadaan yang berlaku.

Rabu, 16 Oktober 2019

Remaja dan Zaman



Mukaddimah dalam menyampaikan ceramah kepada para pelajar
14 Oktober 2019 (Isnin)- Aktiviti pasca PT3 dikendalikan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling (UBK) SDPA sebagai pengisian kepada pelajar-pelajar tingkatan 3. Antara pengisian yang dirancang dlam program ini adalah siri taklimat setiap matapelajaran yang disampaikan oleh guru-guru subjek berkenaan. Pada hari ini, slot Pendidikan Islam mengambil tempat untuk menyampaikan ceramah yang mengupas berkaitan fasa kehidupan remaja.

Rasional pemilihan tajuk ini adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada para pelajar agar dapat mengenal pasti potensi diri masing-masing untuk dibangunakan lalu memberi manfaat kepada kehidupan pada masa akan datang. Selain itu, ianya juga memberi penekanan kepada aspek pengurusan diri supaya dapat ditingkatkan dan ditambahbaik. Keseluruhan pengisian ini adalah berpaksikan kepada asas penghayatan dan pengamalan agama yang dipandu menerusi al-quran dan sunnah nabi SAW. Oleh hal yang demikian, ceramah yang disampaikan menjurus kepada nilai-nilai agama yang cuba dibentangkan dengan menggarapnya dalam realiti kehidupan dan trend remaja masakini. Hal ini kerana, agama sama sekali tidak mengkesimpangkan fitrah kehidupan manusia yang inginkan pelbagai kehendak dalam hidup ini. Justeru, realiti dan trend kehidupan masakini haruslah dipandu dengan bimbingan nilai agama yang komprehensif agar memberi kesan baik serta manfaat kepada pembangunan individu dan ummah.

Persoalan yang mendasari sesi ceramah ini adalah berkisar berkaitan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang kian membimbangkan. laporan akhbar saban hari yang memaparkan salahlaku dan jenayah yang melibatkan remaja sudah menjadi perkara biasa untuk ditatapi. Terbaharu, seperti yang dilaporkan akhbar Metro (Zuliaty Zulkiffli, 17 Oktober 2019) sekumpulan remaja terdiri daripada sembilan  lelaki dan tiga perempuan yang tidak mempunyai hubungan mahram menyewa sebuah bilik hotel dan disyaki terbabit dengan gejala tidak sihat (https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/507807/check-ramai-ramai). Kesemua mereka berusia antara 16 hingga 19 tahun yang mana peringkat usia ini menunjukkan bahawa mereka adalah terdiri daripada pelajar sekolah menengah (tingkatan empat hingga enam). Salahlaku sebegini memperlihatkan kurangnya penghayatan agama dalam diri remaja sehingga berani untuk melanggari batasan agama dalam soal pergaulan. Justeru, menerangkan hikmah disebalik syariat agama perlu dibentangkan kepada remaja agar menjadi benteng diri daripada melakukan maksiat yang mengundang dosa dan murka Allah SWT.

Hakikat pengetahuan agama yang benar akan menjadi pembimbing dalam menjalani kehidupan. Justeru, pada fasa perkembangan remaja yang kompleks ini nilai tindakan perilaku haruslah diimbangi dengan nilai-nilai agama yang tujuannya adalah untuk meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Hal ini sepertimana yang dapat difahami menerusi firman Allah SWT;
"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu." (Surah Az-Zaariyat:56) 
Tambahan lagi, pelajar tingkatan tiga bagi tahun 2019 ini adalah merupakan kohort pertama yang menerima perubahan kurikulum pendidikan kebangsaan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang menggantikan kurikulum lama iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Kepada mereka ini wajar diberi pengetahuan dan maklumat sesuai dengan perkembangan semasa. Perubahan kurikulum ini adalah sebagai satu proses penambahbaikan sistem pendidikan negara dalam aspek pembelajaran murid dan kaedah pengajaran guru. Ia secara langsung menumpukan kepada kepada teras utama iaitu a) komunikasi b) nilai dan akhlak c) kemanusiaan d) keterampilan diri e) perkembangan fizikal dan estetika f) sains dan teknologi. untuk dibangunkan demi menyiapkan para pelajar dalam mendepani cabaran akan datang (DSKP, KPM, 2019).

Menerusi KSSM, pelajar bukan sahaja dipandu dalam memperkembangkan bakat dan kemahiran semata-mata. Malahan kurikulum ini mencakup aspek kognitif iaitu lebih menjurus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Secara ringkasnya, pemikiran kreatif dan kritis wajar diberi penekanan dalam arus pendidikan semasa untuk melahirkan generasi yang mampu menjana idea dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Hal ini sudah tentu memerlukan kepada satu cara berfikir yang sistematik, tersusun dan analitikal. Justeru,  pendekatan dalam KBAT mampu membiasakan untuk mereka berfikir dengan cara yang betul, sekaligus menambah kematangan  dalam tindakan mereka.

Selain itu, KBAT juga dapat dijadikan landasan untuk menerapkan penghayatan aspek akidah dalam kalangan pelajar yang seterusnya akan membentuk kefahaman yang mantap bertepatan dengan syariat Allah SWT (Mohd Syaubari Othman et al, 2016). Hal ini juga menggambarkan kepada kita bahawa KBAT adalah sebahagian daripada usaha untuk membentuk world view yang selari dengan aturan agama sehingga membentuk kefahaman yang utuh terhadap keyakinan kepada Allah SWT dan syarak. Selain itu, secara langsung hal ini terkait dengan pemikiran falsafah yang menjadi acuan untuk berinteraksi kepada realiti kehidupan dalam menangani cabaran semasa (Asmawati, 2012).

Para pelajar memberi tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.
Tuntasnya, pembangunan diri remaja haruslah diberi perhatian yang sewajarnya khususnya pada sistem pendidikan sedia ada. Persaingan menempatkan diri dalam ledakan revolusi Industri (IR 4.0) pada era ini memerlukan kepada modal insan berkualiti. Ini termasuk memiliki kebolehpasaran kemahiran diri dan pola fikir yang futuristik supaya mampu beradaptasi gelombang kemajuan yang semakin pantas. Selain itu, nilai keperibadian tinggi yang disaduri ketaatan dalam beragama- yang mengimani Allah SWT semata-mata,  tentu sahaja menjamin peningkatan kualiti hidup yang harmoni, bertamadun dan sejahtera dalam memacu pembangunan negara dan masyarakat.

Mengkodifikasi kesalahan dalam menulis jawapan pendidikan islam SPM: Tinjauan untuk kelas 5 Teratai

proses pemeriksaan dan penandaan skrip jawapan dijalankan untuk mendapatkan gambaran penguasaan calon dalam topik-topik yang diuji     Dua m...