Rabu, 30 September 2020

PRN Sabah ke-16: Mengatasi Pandemik Covid-19

Hari ini memasuki hari kelima pasca pilihanraya negeri (PRN) Sabah yang ke-16. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada BN, PN dan PBS telah berjaya memperoleh 38 kerusi dimenangi berbanding Warisan Plus yang terdiri Parti Warisan Sabah (Warisan), PKR dan UPKO yang memperoleh 32 kerusi. Manakal calon bebas memenangi 3 kerusi. Menerusi perolehan majoriti mudah oleh GRS maka gabungan ini mampu membentuk kerajaan negeri yang baharu. Maka secara rasminya DSP Hj. Hajiji Mohd Noor (ADUN Sulaman) telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri yang baharu menggantikan DSP Shafie Hj. Apdal (ADUN Senallang).

PRN Sabah yang dilakasanakan pada kali ini agak mencabar kerana dunia sedang berhadapan ancaman pandemik Covid-19. Virus yang bermula di wilayah Wuhan, China ini telah merebak ke seantero dunia dengan peningkatan kes yang mendadak lalu memaksa penutupan beberapa sektor sehingga memberi kesan langsung kepada ekonomi sesebuah negara. Malaysia amnya tidak terlepas daripada kemelut pandemik ini, khususnya di Sabah pelbagai lapisan masyarakat terjejas pendapatan. Lebih-lebih lagi sektor pelancongan yang mana negeri di bawah bayu ini amat terkenal dengan keindahan pulau-pulau yang menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negeri. Keadaan ini telah menyebabkan beberapa agensi pelancongan menutup operasi mereka disebabkan tidak mampu lagi menanggung kos operasi syarikata masing-masing. Mujurlah bantuan kerajaan menerusi pelan PENJANA dapat meringankan sedikit beban mereka ini.

Berbalik kepada perbincangan awa, mengenai PRN Sabah. Kita dapat menyaksikan persaingan sengit diantara dua kelompok utama dalam pemilihan kali ini. Iaitu GRS dan Warisan Plus, yang mana kedua-dua gabungan dalam dua blok ini mempunyai penyokong masing-masing. Sebanyak 73 kerusi dipertandingkan berbanding hanya 63 kerusi pada PRU-14 yang lalu selepas persempadanan semula oleh SPR. Ramalan awal oleh Ilham Centre iaitu sebuah badan penyelidik politik bebas mengatakan Warisan Plus mengatasi GRS dengan kelebihan 23 kerusi yang mereka istilahkan sebagai 'clear winner'. kupasan lanjut boleh dirujuk di sini (https://ilhamcentre.info/persaingan-sengit-warisan-plus-di-hadapan/?fbclid=IwAR1pB_1op7orGWjeaV--4N_oCXGcTrB_-jSsFsb2fziXpX89hAaNhufVeNE). Namun, keputusan rasmi telah pun diketahui dengan rasminya justeru yang penting dan lebih utama ketika ini adalah langkah untuk memperkasakan pembangunan negeri serta fokus kepada usaha untuk megekang penularan pandemik covid-19. Rakyat sangat mengharapkan keprihatinan pihak kerajaan baharu untuk membela nasib mereka tidak kira di desa, pinggir bandar mahupun di bandar. Keadaan yang rencam ketika ini membayangi kehidupan masyarakat perlu dibela dan diuruskan dengan sebaiknya


Khamis, 30 Julai 2020

lunas undang-undang

saat ini PERUNDANGAN mula teruji kefungsiannya. 
PERLEMBAGAAN dan AKTA saja yang mampu tentukan jawaban bagi keadaan yang berlaku.

Rabu, 16 Oktober 2019

Remaja dan Zaman



Mukaddimah dalam menyampaikan ceramah kepada para pelajar
14 Oktober 2019 (Isnin)- Aktiviti pasca PT3 dikendalikan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling (UBK) SDPA sebagai pengisian kepada pelajar-pelajar tingkatan 3. Antara pengisian yang dirancang dlam program ini adalah siri taklimat setiap matapelajaran yang disampaikan oleh guru-guru subjek berkenaan. Pada hari ini, slot Pendidikan Islam mengambil tempat untuk menyampaikan ceramah yang mengupas berkaitan fasa kehidupan remaja.

Rasional pemilihan tajuk ini adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada para pelajar agar dapat mengenal pasti potensi diri masing-masing untuk dibangunakan lalu memberi manfaat kepada kehidupan pada masa akan datang. Selain itu, ianya juga memberi penekanan kepada aspek pengurusan diri supaya dapat ditingkatkan dan ditambahbaik. Keseluruhan pengisian ini adalah berpaksikan kepada asas penghayatan dan pengamalan agama yang dipandu menerusi al-quran dan sunnah nabi SAW. Oleh hal yang demikian, ceramah yang disampaikan menjurus kepada nilai-nilai agama yang cuba dibentangkan dengan menggarapnya dalam realiti kehidupan dan trend remaja masakini. Hal ini kerana, agama sama sekali tidak mengkesimpangkan fitrah kehidupan manusia yang inginkan pelbagai kehendak dalam hidup ini. Justeru, realiti dan trend kehidupan masakini haruslah dipandu dengan bimbingan nilai agama yang komprehensif agar memberi kesan baik serta manfaat kepada pembangunan individu dan ummah.

Persoalan yang mendasari sesi ceramah ini adalah berkisar berkaitan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang kian membimbangkan. laporan akhbar saban hari yang memaparkan salahlaku dan jenayah yang melibatkan remaja sudah menjadi perkara biasa untuk ditatapi. Terbaharu, seperti yang dilaporkan akhbar Metro (Zuliaty Zulkiffli, 17 Oktober 2019) sekumpulan remaja terdiri daripada sembilan  lelaki dan tiga perempuan yang tidak mempunyai hubungan mahram menyewa sebuah bilik hotel dan disyaki terbabit dengan gejala tidak sihat (https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/507807/check-ramai-ramai). Kesemua mereka berusia antara 16 hingga 19 tahun yang mana peringkat usia ini menunjukkan bahawa mereka adalah terdiri daripada pelajar sekolah menengah (tingkatan empat hingga enam). Salahlaku sebegini memperlihatkan kurangnya penghayatan agama dalam diri remaja sehingga berani untuk melanggari batasan agama dalam soal pergaulan. Justeru, menerangkan hikmah disebalik syariat agama perlu dibentangkan kepada remaja agar menjadi benteng diri daripada melakukan maksiat yang mengundang dosa dan murka Allah SWT.

Hakikat pengetahuan agama yang benar akan menjadi pembimbing dalam menjalani kehidupan. Justeru, pada fasa perkembangan remaja yang kompleks ini nilai tindakan perilaku haruslah diimbangi dengan nilai-nilai agama yang tujuannya adalah untuk meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Hal ini sepertimana yang dapat difahami menerusi firman Allah SWT;
"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu." (Surah Az-Zaariyat:56) 
Tambahan lagi, pelajar tingkatan tiga bagi tahun 2019 ini adalah merupakan kohort pertama yang menerima perubahan kurikulum pendidikan kebangsaan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang menggantikan kurikulum lama iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Kepada mereka ini wajar diberi pengetahuan dan maklumat sesuai dengan perkembangan semasa. Perubahan kurikulum ini adalah sebagai satu proses penambahbaikan sistem pendidikan negara dalam aspek pembelajaran murid dan kaedah pengajaran guru. Ia secara langsung menumpukan kepada kepada teras utama iaitu a) komunikasi b) nilai dan akhlak c) kemanusiaan d) keterampilan diri e) perkembangan fizikal dan estetika f) sains dan teknologi. untuk dibangunkan demi menyiapkan para pelajar dalam mendepani cabaran akan datang (DSKP, KPM, 2019).

Menerusi KSSM, pelajar bukan sahaja dipandu dalam memperkembangkan bakat dan kemahiran semata-mata. Malahan kurikulum ini mencakup aspek kognitif iaitu lebih menjurus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Secara ringkasnya, pemikiran kreatif dan kritis wajar diberi penekanan dalam arus pendidikan semasa untuk melahirkan generasi yang mampu menjana idea dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Hal ini sudah tentu memerlukan kepada satu cara berfikir yang sistematik, tersusun dan analitikal. Justeru,  pendekatan dalam KBAT mampu membiasakan untuk mereka berfikir dengan cara yang betul, sekaligus menambah kematangan  dalam tindakan mereka.

Selain itu, KBAT juga dapat dijadikan landasan untuk menerapkan penghayatan aspek akidah dalam kalangan pelajar yang seterusnya akan membentuk kefahaman yang mantap bertepatan dengan syariat Allah SWT (Mohd Syaubari Othman et al, 2016). Hal ini juga menggambarkan kepada kita bahawa KBAT adalah sebahagian daripada usaha untuk membentuk world view yang selari dengan aturan agama sehingga membentuk kefahaman yang utuh terhadap keyakinan kepada Allah SWT dan syarak. Selain itu, secara langsung hal ini terkait dengan pemikiran falsafah yang menjadi acuan untuk berinteraksi kepada realiti kehidupan dalam menangani cabaran semasa (Asmawati, 2012).

Para pelajar memberi tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.
Tuntasnya, pembangunan diri remaja haruslah diberi perhatian yang sewajarnya khususnya pada sistem pendidikan sedia ada. Persaingan menempatkan diri dalam ledakan revolusi Industri (IR 4.0) pada era ini memerlukan kepada modal insan berkualiti. Ini termasuk memiliki kebolehpasaran kemahiran diri dan pola fikir yang futuristik supaya mampu beradaptasi gelombang kemajuan yang semakin pantas. Selain itu, nilai keperibadian tinggi yang disaduri ketaatan dalam beragama- yang mengimani Allah SWT semata-mata,  tentu sahaja menjamin peningkatan kualiti hidup yang harmoni, bertamadun dan sejahtera dalam memacu pembangunan negara dan masyarakat.

Ahad, 18 Ogos 2019

PROGRAM IBADAH QURBAN SDPA 2019M/ 1440H

Alhamdulillahi Robbil A'lamin segala puji bagi Allah SWT yang maha pengurnia dengan sekian banyak nikmat dan kasih sayang kepada seluruh hambaNya, selawat dan salam kepada junjungan kita nabi Muhammad SAW utusan agung pembimbing kehidupan manusia menuju cahaya kebenaran serta kepada generasi sesudah baginda yang berterusan menyampaikan dakwah memberi nasihat kepada ummah.

Kad jemputan digital program qurban SDPA 2019
Syukur kepada Allah SWT, hajat untuk melaksanakan Program Ibadah Qurban peringkat sekolah telah dapat dilaksana dengan jayanya pada 11 Zulhijjah 1440H (12 Ogos 2019 -Isnin) yang lalu. Program yang julung-julung kalinya diadakan di Sekolah Datuk Panglima Abdullah (SDPA) dibawah kelolaan Panitia Pendidikan Islam telah mendapat sokongan padu daripada warga sekolah secara keseluruhan. Bermula seawal jam 7.30 pagi guru dan pelajar bersama-sama berkumpul di perkarangan flat guru untuk memulakan program tersebut. Pada edisi qurban kali ini, tiga ekor lembu berjaya disembelih untuk diqurbankan. Perancangan gerak kerja dan kutipan bulanan para peserta qurban yang membabitkan 21 orang peserta terdiri dari kalangan guru dan AKP telah dilaksanakan sejak Januari lagi untuk memudahkan pengurusan dan bayaran tempahan lembu kepada pihak pembekal.

Para guru bekerjsama menjatuhkan lembu untuk disembelih
Proses melapah ditunjukkan oleh Ust. Shamie kepada para pelajar

Pembungkusan daging qurban oleh para pelajar
Sambutan dari kalangan warga sekolah pada program pertama kalinya diadakan ini amat memberangsangkan. Para guru dan pelajar bersama-sama bekerjasama dalam menjayakan aktiviti sepanjang program ini berlangsung antaranya menyediakan jamuan serta masakan, menyembelih, melapah dan membungkus daging qurban. Praktikal sembelihan juga dapat didedahkan kepada para pelajar iaitu teknik sembelihan serta membaringkan lembu dapat ditunjukkan. Ini dapat memberi lebih kefahaman kepada mereka khusunya pelajar tingkatan empat dan lima kerana topik sembelihan terkandung dalam silibus pendidikan islam yang mereka pelajari di bilik darjah. Selain itu, para pelajar dapat menimba pengalaman untuk menguruskan agihan daging qurban berdasarkan bahagain-bahagian yang ditetapkan syarak. Justeru, pengalama ini membolehkan mereka mengaplikasi hukum qurban serta pelaksanaanya yang menepati kehendak syarak. 


  
Sembelihan lembu kedua dilakukan oleh Ust. Faizal
Tunjuk cara menjatuhkan dan membaringkan lembu ditunjukkan oleh Cg. Moktar, Ust. Fadhli dan Cg. Mohd Nazri
Daging qurban diagihkan kepada kejiranan kuaters guru SDPA dan kumpulan pelajar yang hadir dalam program ini. Sekitar jam 1.00 petang jamuan makan diadakan dengan hidangan daging masak kunyit dan sup tulang yang disediakan oleh kumpulan guru perempuan diketuai Cg. Saleha dan dibantu oleh pelajar perempuan. Sesungguhnya program ini dilihat berjaya menepati objektifnya yang antara lain untuk mengeratkan silahturrahim dalam kalangan warga sekolah yang terdiri daripada pelajar, guru dan AKP. Benih kesyukuran sudah mula disuburkan menerusi program seperti ini yang bersifat penghayatan kepada semangat pengorbanan menerusi iktibar kisah nabi Ibrahim a.s dan puteranya Ismail a.s, mudah-mudahan menjadi motivasi kepada warga sekolah dalam bersungguh-sungguh melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT.
Aktiviti memasak dilaksanakan oleh AJK Jamuan diketuai oleh Cg. Saleha

Hidangan daging masak kunyit dan sup tulang

Guru dan pelajar bersama-sama menikmati jamuan makan

Agihan daging qurban kepada kumpulan pelajar

Agihan daging qurban kepada guru dan kejiranan kuaters SDPA
Bagi pihak Pantia Pendidikan Islam SDPA  dan penyeleras program mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada seluruh warga sekolah atas komitmen yang diberikan sehingga melancarkan dan memudahkan gerak kerja program ini dilaksanakan dengan jayanya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua. Semoga Allah SWT sentiasa memayungi kehidupan kita semua  dengan barokah dan rahmat dari sisiNya, sekaligus kita mengharapakan segala usaha dan amal ibadah kita diterima olehNya. Hanya kepada Allah SWT jualah segalanya kita sandarkan supaya menjadi saksi pada  pengabdian diri sebagai hambaNya. Mudah-mudahan program ini akan berterusan pada masa-masa mendatang. Wallahu bihi musta'an. 

Jumaat, 28 Disember 2018

Modul SPM



Kulit buku yang dihasilkan sendiri untuk Modul SPM yang bakal diterbitkan
Semoga Allah swt mempermudahkan segala urusan untuk menerbitkan buku Modul SPM yang bakal diterbitkan. Ini merupakn 'mega projek' yang saya usahakan pada tahun ini setelah sekian lama mendalami kaedah dan pendekatan dalam menyampaikan pengajaran kepada para pelajar. 

Khamis, 17 Mei 2018

Demokrasi dan Rakyat

Kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara didokong oleh kepaduan rakyat dalam membangun negara secara bersama. Pilihanraya umum merupakan wasilah  untuk mencapai maksud tersebut melalui keyakinan rakyat yang diberikan kepada para pemimpin pilihan masing-masing supaya boleh diangkat diperingkat nasional. Suara rakyat yang diterjemahkan melalui kertas undi akan menentukan teraju utama dalam sesebuah negara dalam menentukan perancangan, perkembangan dan pertumbuhan negara pada masa mendatang. Jelasnya, hal ini telah tertunai pada tanggal 09 Mei 2018 diseluruh pelosok negara yang memperlihatkan rakyat jelata (yang layak memimilih) keluar bersama-sama ke pusat-pusat pengundian untuk melunaskan tanggungjawab massing-masing.

Kini, keinginan rakyat telah tertunai dengan pembentukan sebuah kerjaaan yang sah. Proses pemilihan pemimpin yang lancar merupakan suatu anugerah buat rakyat negara ini. Pentadbiran yang telus dan beritegriti merupakan dambaan seluruh rakyat di mana-mana negara. Justeru, sikap bertangungjawab dalam kalangan pemimpin adalah kunci kepercayaan rakyat yang diletak ke atas pemimpin. Hal ini demikian kerana, nilai integriti merupakan asas utama dalam sesebuah pentadbiran yang telus dan ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan negara supaya setiap langkah perancangan serta pembagunan negara memberi manfaat yang besar secara keseluruhannya. Pengurusan yang cekap dan berhemah menjamin pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing dan kestabilan politik yang matang,  di mana kesannya keyakinan pelabur luar akan meningkat yang sudah pasti akan meletakkan negara pada kedudukan yang selamat di pentas antarabangsa.

Kemelut negara sebelum ini yang dibayangi oleh hutang yang meningkat dan gejala rasuah menjadi titik tolak kebangkitan suara rakyat. Kegelisahan rakyat yang dihantui kos kehidupan yang kian meningkat menjadi suara dalaman yang mendesak bahawa perubahan mesti dilakukan. Hasilnya telah diterjemahkan dalam proses pilihanraya yang pada akhirnya memberi kecundang kepada parti yang telah berkhidmat selama enam dekad di tanahair ini. Penyebaran maklumat melalui media masakini yang dilihat menjadi ruang kepada rakyat untuk mengikuti sebarang info dalam dan luar negara berjaya membentuk kefahaman dan persepsi yang berbeza-beza. Kesannya, pendirian rakyat mula terbentuk untuk dimanifeatasikan dalam pilihanraya yang diadakan.

Kini  (21 Julai 2018 - keitka tulisan ini disambung semula) kerajaan baharu memasuki 70 hari menjalankan urus tabir negara. Janji manifesto untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah dikotakan. Isu GST ini adalah diantara beberapa isu yang sering mendapat perhatian rakyat semenjak ia dilaksanakan dengan gambaran yang diberikan ialah meningkatkan harga barang pada umumnya. Pelaksanaannya telah memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat yang menyifatkannya sebagai suatu bebanan yang tidak adil kepada pengguna akhir, tambahan pula ia menjadi kepertian yang mendalam kepada rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti nelayan, petani dan buruh khususnya di kampung-kampung. Walaupun pada hakikatnya kerajaan terdahulu mencetuskan pelaksanaannya untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mapan. Namun, penerangan yang tidak menyeluruh dan kemungkinan terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan, maka ia kelihatan tidak munasabah untuk dilaksanakan sama sekali - kefahaman rakyat gagal dibentuk.

Rabu, 2 Mei 2018

MEMILIH

Dalam kehidupan seharian manusia perbuatan memilih adalah diantara tindakan yang sering dilakukan sebagai langkah untuk memudahakan aturan kehidupan yang lebih sempurna. Maka tindakan memilih adalah kewajipan yang tidak dapat dipisahakan daripada perancangan manusia untuk mendapatkan 'hasil' yang dimatlamatkan. Dengan tindakan memilih yang betul berdasarkan dengan pengetahuan semasa akan menatijahkan satu keputusan (hasil) yang menguntungkan.

Ketika ini PRU14 menjadi topik pembicaraan masyarakat menjelang hari pengundian yang telah dimuktamadkan pada 09 Mei 2018. Suasana berkempen sedang giat dijalankan oleh parti-parti yang bertanding pada pilihanraya kali ini dengan menjaja manifesto masing-masing kepada rakyat supaya diberi peluang untuk mengemudi negara sekaligus menunaikan janji untuk membela nasib rakyat. Justeru, parti-parti ini akan sedaya upaya menarik hati rakyat dengan membawa kepada janji pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat samada ada di peringkat nasional mahupun tempatan.

Bagi rakyat pula, mereka akan menilai sejuahmana keluhuran baka-bakal wakil rakyat yang akan mewakili mereka untuk memperjuangkan nasib mereka dengan harapan para pemimpin ini akan mengotakan janji yang telah ditawarkan semasa berkempen. Sungguhpun demikian, rakyat (masyarakat) akan terus membicarakan kekuatan kecenderungan mereka untuk memilih parti yang dipilih mereka. Justeru keadaan ini akan memperlihatkan dua kelompok masyarkat mejelang pilihanraya. Di satu kelompok mempertahankan kerajaan (parti kerajaan) sedia ada yang memerintah, sementara di kelompok yang lain memilih untuk menyokong pihak lawan (parti pembangkang). Kelompok ini akan terus berbicara sambil  mengkritik diantara satu sama lain.

Sandaran rakyat dalam membuat keputusan memilih pemimpin adalah berdasarkan tafsiran mereka terhadap isu semasa yang diperolehi menerusi pelbagai saluran media. Sama ada isu tersebut berkait dengan pentadbiran negara mahupun menyentuh keperluan hidup seharian. Justeru, tidak hairanlah dalam suasana menjelang pilihanraya akan timbulnya pelbagai 'cerita' yang tidak dapat dipasitkan kesahihannya.

Walau bagaimanapun, pemilihan parti untuk diberi mandat menerajui kepimpinan negara mahupun negeri haruslah fokus kepada kekuatan, integriti dan kebolehan melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Pemimpin adalah watak utama yang akan merencana pembangunan serta kemajuan masyarakat dan negara. Justeru, mereka seharusnya dinilai dengan prestasi yang  benar-benar meyakinkan ke arah mewujudkan kesejahteraan hidup sesebuah masyarakat. Hal ini merangkumi aspek pembangunan intelek dan prasarana masyarakat. Pembangunan insani akan memberikan impak positif dalam melonjakkan sesebuah masyarakat ke tahap yang lebih tinggi, manakala penyediaan prasarana yang mencukupi akan memberi kemudahan urusan harian masyarakat. Demikianlah peranan yang sewajarnya dimainkan oleh para pemimpin agar kestabilan politik kekal terjamin sepanjang masa.

Keluhuran budi pekerti dikalangan pemimpin juga menjadi aset berharga untuk memenangi hati rakyat. Kepimpinan yang dicerminkan melalui akhlak yang baik akan mempengaruhi rakyat yang diwakili. Karisma kepimpinan dan berpolitik harus dijelmakan dengan nilai kesantunan yang tinggi. Hal ini demikian kerana, pemimpin adalah ketua yang menjadi ikutan dalam sesebuah masyarakat sekaligus akan mencorakkan sikap dan pekerti rakyatnya. Bagi rakyat pula, ketinggian budi dikalangan pemimpin akan menjadi sandaran keyakinan mereka dalam memilih wakil rakyat yang akan mewakili mereka. Justeru, keterujaan berkempen oleh para individu yang bertanding dalam pilihanraya perlu diwaspadai agar tidak menampakkan kejelikan akhlak di hadapan masyarakat.

Kesimpulannya, hak memilih pemimpin yang akan datang haruslah diberi peritmbangan sewajarnya dengan mengambil kira kebolehan mereka menterjemahkan amanah yang telah diberikan. Kepimpinan yang didasari dengan sifat ketelusan serta integriti dalam memperjuangkan nasib rakyat akan memberikan kesan kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarkat disamping kestabilan politik yang akan membangunkan kemajuan negara di pentas dunia.

Mengkodifikasi kesalahan dalam menulis jawapan pendidikan islam SPM: Tinjauan untuk kelas 5 Teratai

proses pemeriksaan dan penandaan skrip jawapan dijalankan untuk mendapatkan gambaran penguasaan calon dalam topik-topik yang diuji     Dua m...