Rabu, 21 Oktober 2020

PENDIDIKAN ISLAM DALAM DIMENSI CABARAN SEMASA: IMPLIKASI PERKEMBANGAN DUNIA TEKNOLOGI TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN IDEAL


Pengenalan

Abad ke-21 menyaksikan cabaran datang dari segenap sudut dan lapangan yang melatari era globalisasi. Ia telah mencetuskan kepada satu keadaan dunia tanpa sempadan dan bersifat antarabangsa seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan informasi (ICT) (Mardhiah et. al, 2016). Justeru, untuk mendepani zaman ini ia memerlukan kepada kesediaan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang tinggi supaya dapat berdaya saing (kompeten) dalam pelbagai bidang yang ditawarkan. Demikian keperluan yang perlu dipersiapkan kepada generasi akan datang haruslah diberi tumpuan dan dirancang dengan sebaiknya agar dapat melahirkan masyarakat yang dapat memakmurkan kehidupan dan memajukan negara. Pada masakini pelbagai kemudahan tersedia seiring perkembangan teknologi ICT dan sains dalam memenuhi kegiatan harian. Industrial revolution (IR 4.0) ketika ini sedang giat dikembangkan dalam pelbagai sektor yang mana pihak kerjaaan mahupun swasta turut berperanan dalam mengkaji dan memperhebat penyelidikan agar manfaatnya dapat digunakan dalam segenap urusan pentadbiran, pekerjaan dan kemudahan harian masyarakat (Ibrahim, 2016). Khususnya dalam sektor pekerjaan, dianggarkan 65% generasi muda masakini yang berada pada tahap pendidikan pertengahan akan memiliki kerjaya yang sebelum ini belum pernah wujud (World Economic Forum, 2020). Demikian dalam bidang pendidikan sudah semestinya perkembangan ini akan memberi kesan langsung kepada hala tuju pendidikan itu sendiri - iaitu sekurang-kurangnya mengubah gaya penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya proses pendidikan (untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran) dapat dilaksanakan secara optimum (Noradilah & Lei Wei Sieng, 2019). Oleh hal yang demikian, dengan menunjangi falsafah pendidikan kebangsaaan (FPK) sebagai asas dalam melahirkan individu, masyarakat dan negara yang ideal (Saharia, 2015) pendidikan islam dilihat sebagai satu matapelajaran (diperingkat sekolah dan kurikulum) yang wajar diberi penekanan kerana ia jelas menggariskan aspek pembangunan insan secara holistik sebagai khalifah Allah di muka bumi menerusi penghayatan ilmu, nilai dan amalannya (Abdul Halim El-Muhammady, 1993; Basri Husin, 2009; Mahmudi, 2019). Justeru, perkembangan teknologi era ini perlu dimurnikan daripada unsur-unsur yang merosakkan minda dan pemikiran serta pengaruh agresif yang merencatkan usaha pembentukan nilai-nilai murni untuk melahirkan generasi yang unggul.


Dunia tanpa sempadan dengan teknologi komunikasi


Menurut Shamsul et. al (2004) walaupun hakikatnya dunia masih memerlukan sempadan negara-negara (dari aspek geografi) namun kemajuan dalam globalisasi haruslah dimanfaatkan untuk mentransformasikan masyarakat baik dalam bidang ekonomi dan proses pembinaan ilmu. Kepesatan pembangunan teknologi komunikasi membolehkan proses pembelajaran boleh berlangsung di mana-mana. Hari ini pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PDPR) yang diperkenalkan ekoran penularan wabak covid-19 wajar diuruskan dengan sebaiknya. Kaedah penyampaian yang berkesan perlu diterapkan oleh setiap guru agar kandungan kurikulum dapat disampaikan kepada para pelajar dengan menyeluruh dan objektif. Dipihak kerajaan pula adalah diharapkan agar penambahbaikan prasaranan jalur lebar digiatkan khususnya di kawasan-kawasan yang sukar untuk menerima rangkaian telefon dan internet, dan usaha ini perlu digembleng bersama-sama pihak swasta agar penyediaan kemudahan ini dapat dilakukan secara progresif.



Selasa, 13 Oktober 2020

Sebelum akhir (mengenang subuh)



Jiwa punya hak untuk diberikan
Jasad pula punya hak untuk dikekarkan
keduanya saling berpaut
demi
Menjadi sosok yang selalu tunduk dengan dustur Ilahi
Menjadi pekerti yang indah ditatap alam semesta

Dengan bersaksi mereka yang tercipta dari nur
sebagai bekal di alam abadi..

Rabu, 30 September 2020

PRN Sabah ke-16: Mengatasi Pandemik Covid-19

Hari ini memasuki hari kelima pasca pilihanraya negeri (PRN) Sabah yang ke-16. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada BN, PN dan PBS telah berjaya memperoleh 38 kerusi dimenangi berbanding Warisan Plus yang terdiri Parti Warisan Sabah (Warisan), PKR dan UPKO yang memperoleh 32 kerusi. Manakal calon bebas memenangi 3 kerusi. Menerusi perolehan majoriti mudah oleh GRS maka gabungan ini mampu membentuk kerajaan negeri yang baharu. Maka secara rasminya DSP Hj. Hajiji Mohd Noor (ADUN Sulaman) telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri yang baharu menggantikan DSP Shafie Hj. Apdal (ADUN Senallang).

PRN Sabah yang dilakasanakan pada kali ini agak mencabar kerana dunia sedang berhadapan ancaman pandemik Covid-19. Virus yang bermula di wilayah Wuhan, China ini telah merebak ke seantero dunia dengan peningkatan kes yang mendadak lalu memaksa penutupan beberapa sektor sehingga memberi kesan langsung kepada ekonomi sesebuah negara. Malaysia amnya tidak terlepas daripada kemelut pandemik ini, khususnya di Sabah pelbagai lapisan masyarakat terjejas pendapatan. Lebih-lebih lagi sektor pelancongan yang mana negeri di bawah bayu ini amat terkenal dengan keindahan pulau-pulau yang menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negeri. Keadaan ini telah menyebabkan beberapa agensi pelancongan menutup operasi mereka disebabkan tidak mampu lagi menanggung kos operasi syarikata masing-masing. Mujurlah bantuan kerajaan menerusi pelan PENJANA dapat meringankan sedikit beban mereka ini.

Berbalik kepada perbincangan awa, mengenai PRN Sabah. Kita dapat menyaksikan persaingan sengit diantara dua kelompok utama dalam pemilihan kali ini. Iaitu GRS dan Warisan Plus, yang mana kedua-dua gabungan dalam dua blok ini mempunyai penyokong masing-masing. Sebanyak 73 kerusi dipertandingkan berbanding hanya 63 kerusi pada PRU-14 yang lalu selepas persempadanan semula oleh SPR. Ramalan awal oleh Ilham Centre iaitu sebuah badan penyelidik politik bebas mengatakan Warisan Plus mengatasi GRS dengan kelebihan 23 kerusi yang mereka istilahkan sebagai 'clear winner'. kupasan lanjut boleh dirujuk di sini (https://ilhamcentre.info/persaingan-sengit-warisan-plus-di-hadapan/?fbclid=IwAR1pB_1op7orGWjeaV--4N_oCXGcTrB_-jSsFsb2fziXpX89hAaNhufVeNE). Namun, keputusan rasmi telah pun diketahui dengan rasminya justeru yang penting dan lebih utama ketika ini adalah langkah untuk memperkasakan pembangunan negeri serta fokus kepada usaha untuk megekang penularan pandemik covid-19. Rakyat sangat mengharapkan keprihatinan pihak kerajaan baharu untuk membela nasib mereka tidak kira di desa, pinggir bandar mahupun di bandar. Keadaan yang rencam ketika ini membayangi kehidupan masyarakat perlu dibela dan diuruskan dengan sebaiknya


Khamis, 30 Julai 2020

lunas undang-undang

saat ini PERUNDANGAN mula teruji kefungsiannya. 
PERLEMBAGAAN dan AKTA saja yang mampu tentukan jawaban bagi keadaan yang berlaku.

Rabu, 16 Oktober 2019

Remaja dan Zaman



Mukaddimah dalam menyampaikan ceramah kepada para pelajar
14 Oktober 2019 (Isnin)- Aktiviti pasca PT3 dikendalikan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling (UBK) SDPA sebagai pengisian kepada pelajar-pelajar tingkatan 3. Antara pengisian yang dirancang dlam program ini adalah siri taklimat setiap matapelajaran yang disampaikan oleh guru-guru subjek berkenaan. Pada hari ini, slot Pendidikan Islam mengambil tempat untuk menyampaikan ceramah yang mengupas berkaitan fasa kehidupan remaja.

Rasional pemilihan tajuk ini adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada para pelajar agar dapat mengenal pasti potensi diri masing-masing untuk dibangunakan lalu memberi manfaat kepada kehidupan pada masa akan datang. Selain itu, ianya juga memberi penekanan kepada aspek pengurusan diri supaya dapat ditingkatkan dan ditambahbaik. Keseluruhan pengisian ini adalah berpaksikan kepada asas penghayatan dan pengamalan agama yang dipandu menerusi al-quran dan sunnah nabi SAW. Oleh hal yang demikian, ceramah yang disampaikan menjurus kepada nilai-nilai agama yang cuba dibentangkan dengan menggarapnya dalam realiti kehidupan dan trend remaja masakini. Hal ini kerana, agama sama sekali tidak mengkesimpangkan fitrah kehidupan manusia yang inginkan pelbagai kehendak dalam hidup ini. Justeru, realiti dan trend kehidupan masakini haruslah dipandu dengan bimbingan nilai agama yang komprehensif agar memberi kesan baik serta manfaat kepada pembangunan individu dan ummah.

Persoalan yang mendasari sesi ceramah ini adalah berkisar berkaitan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang kian membimbangkan. laporan akhbar saban hari yang memaparkan salahlaku dan jenayah yang melibatkan remaja sudah menjadi perkara biasa untuk ditatapi. Terbaharu, seperti yang dilaporkan akhbar Metro (Zuliaty Zulkiffli, 17 Oktober 2019) sekumpulan remaja terdiri daripada sembilan  lelaki dan tiga perempuan yang tidak mempunyai hubungan mahram menyewa sebuah bilik hotel dan disyaki terbabit dengan gejala tidak sihat (https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/507807/check-ramai-ramai). Kesemua mereka berusia antara 16 hingga 19 tahun yang mana peringkat usia ini menunjukkan bahawa mereka adalah terdiri daripada pelajar sekolah menengah (tingkatan empat hingga enam). Salahlaku sebegini memperlihatkan kurangnya penghayatan agama dalam diri remaja sehingga berani untuk melanggari batasan agama dalam soal pergaulan. Justeru, menerangkan hikmah disebalik syariat agama perlu dibentangkan kepada remaja agar menjadi benteng diri daripada melakukan maksiat yang mengundang dosa dan murka Allah SWT.

Hakikat pengetahuan agama yang benar akan menjadi pembimbing dalam menjalani kehidupan. Justeru, pada fasa perkembangan remaja yang kompleks ini nilai tindakan perilaku haruslah diimbangi dengan nilai-nilai agama yang tujuannya adalah untuk meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Hal ini sepertimana yang dapat difahami menerusi firman Allah SWT;
"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu." (Surah Az-Zaariyat:56) 
Tambahan lagi, pelajar tingkatan tiga bagi tahun 2019 ini adalah merupakan kohort pertama yang menerima perubahan kurikulum pendidikan kebangsaan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang menggantikan kurikulum lama iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Kepada mereka ini wajar diberi pengetahuan dan maklumat sesuai dengan perkembangan semasa. Perubahan kurikulum ini adalah sebagai satu proses penambahbaikan sistem pendidikan negara dalam aspek pembelajaran murid dan kaedah pengajaran guru. Ia secara langsung menumpukan kepada kepada teras utama iaitu a) komunikasi b) nilai dan akhlak c) kemanusiaan d) keterampilan diri e) perkembangan fizikal dan estetika f) sains dan teknologi. untuk dibangunkan demi menyiapkan para pelajar dalam mendepani cabaran akan datang (DSKP, KPM, 2019).

Menerusi KSSM, pelajar bukan sahaja dipandu dalam memperkembangkan bakat dan kemahiran semata-mata. Malahan kurikulum ini mencakup aspek kognitif iaitu lebih menjurus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Secara ringkasnya, pemikiran kreatif dan kritis wajar diberi penekanan dalam arus pendidikan semasa untuk melahirkan generasi yang mampu menjana idea dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Hal ini sudah tentu memerlukan kepada satu cara berfikir yang sistematik, tersusun dan analitikal. Justeru,  pendekatan dalam KBAT mampu membiasakan untuk mereka berfikir dengan cara yang betul, sekaligus menambah kematangan  dalam tindakan mereka.

Selain itu, KBAT juga dapat dijadikan landasan untuk menerapkan penghayatan aspek akidah dalam kalangan pelajar yang seterusnya akan membentuk kefahaman yang mantap bertepatan dengan syariat Allah SWT (Mohd Syaubari Othman et al, 2016). Hal ini juga menggambarkan kepada kita bahawa KBAT adalah sebahagian daripada usaha untuk membentuk world view yang selari dengan aturan agama sehingga membentuk kefahaman yang utuh terhadap keyakinan kepada Allah SWT dan syarak. Selain itu, secara langsung hal ini terkait dengan pemikiran falsafah yang menjadi acuan untuk berinteraksi kepada realiti kehidupan dalam menangani cabaran semasa (Asmawati, 2012).

Para pelajar memberi tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.
Tuntasnya, pembangunan diri remaja haruslah diberi perhatian yang sewajarnya khususnya pada sistem pendidikan sedia ada. Persaingan menempatkan diri dalam ledakan revolusi Industri (IR 4.0) pada era ini memerlukan kepada modal insan berkualiti. Ini termasuk memiliki kebolehpasaran kemahiran diri dan pola fikir yang futuristik supaya mampu beradaptasi gelombang kemajuan yang semakin pantas. Selain itu, nilai keperibadian tinggi yang disaduri ketaatan dalam beragama- yang mengimani Allah SWT semata-mata,  tentu sahaja menjamin peningkatan kualiti hidup yang harmoni, bertamadun dan sejahtera dalam memacu pembangunan negara dan masyarakat.

Ahad, 18 Ogos 2019

PROGRAM IBADAH QURBAN SDPA 2019M/ 1440H

Alhamdulillahi Robbil A'lamin segala puji bagi Allah SWT yang maha pengurnia dengan sekian banyak nikmat dan kasih sayang kepada seluruh hambaNya, selawat dan salam kepada junjungan kita nabi Muhammad SAW utusan agung pembimbing kehidupan manusia menuju cahaya kebenaran serta kepada generasi sesudah baginda yang berterusan menyampaikan dakwah memberi nasihat kepada ummah.

Kad jemputan digital program qurban SDPA 2019
Syukur kepada Allah SWT, hajat untuk melaksanakan Program Ibadah Qurban peringkat sekolah telah dapat dilaksana dengan jayanya pada 11 Zulhijjah 1440H (12 Ogos 2019 -Isnin) yang lalu. Program yang julung-julung kalinya diadakan di Sekolah Datuk Panglima Abdullah (SDPA) dibawah kelolaan Panitia Pendidikan Islam telah mendapat sokongan padu daripada warga sekolah secara keseluruhan. Bermula seawal jam 7.30 pagi guru dan pelajar bersama-sama berkumpul di perkarangan flat guru untuk memulakan program tersebut. Pada edisi qurban kali ini, tiga ekor lembu berjaya disembelih untuk diqurbankan. Perancangan gerak kerja dan kutipan bulanan para peserta qurban yang membabitkan 21 orang peserta terdiri dari kalangan guru dan AKP telah dilaksanakan sejak Januari lagi untuk memudahkan pengurusan dan bayaran tempahan lembu kepada pihak pembekal.

Para guru bekerjsama menjatuhkan lembu untuk disembelih
Proses melapah ditunjukkan oleh Ust. Shamie kepada para pelajar

Pembungkusan daging qurban oleh para pelajar
Sambutan dari kalangan warga sekolah pada program pertama kalinya diadakan ini amat memberangsangkan. Para guru dan pelajar bersama-sama bekerjasama dalam menjayakan aktiviti sepanjang program ini berlangsung antaranya menyediakan jamuan serta masakan, menyembelih, melapah dan membungkus daging qurban. Praktikal sembelihan juga dapat didedahkan kepada para pelajar iaitu teknik sembelihan serta membaringkan lembu dapat ditunjukkan. Ini dapat memberi lebih kefahaman kepada mereka khusunya pelajar tingkatan empat dan lima kerana topik sembelihan terkandung dalam silibus pendidikan islam yang mereka pelajari di bilik darjah. Selain itu, para pelajar dapat menimba pengalaman untuk menguruskan agihan daging qurban berdasarkan bahagain-bahagian yang ditetapkan syarak. Justeru, pengalama ini membolehkan mereka mengaplikasi hukum qurban serta pelaksanaanya yang menepati kehendak syarak. 


  
Sembelihan lembu kedua dilakukan oleh Ust. Faizal
Tunjuk cara menjatuhkan dan membaringkan lembu ditunjukkan oleh Cg. Moktar, Ust. Fadhli dan Cg. Mohd Nazri
Daging qurban diagihkan kepada kejiranan kuaters guru SDPA dan kumpulan pelajar yang hadir dalam program ini. Sekitar jam 1.00 petang jamuan makan diadakan dengan hidangan daging masak kunyit dan sup tulang yang disediakan oleh kumpulan guru perempuan diketuai Cg. Saleha dan dibantu oleh pelajar perempuan. Sesungguhnya program ini dilihat berjaya menepati objektifnya yang antara lain untuk mengeratkan silahturrahim dalam kalangan warga sekolah yang terdiri daripada pelajar, guru dan AKP. Benih kesyukuran sudah mula disuburkan menerusi program seperti ini yang bersifat penghayatan kepada semangat pengorbanan menerusi iktibar kisah nabi Ibrahim a.s dan puteranya Ismail a.s, mudah-mudahan menjadi motivasi kepada warga sekolah dalam bersungguh-sungguh melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT.
Aktiviti memasak dilaksanakan oleh AJK Jamuan diketuai oleh Cg. Saleha

Hidangan daging masak kunyit dan sup tulang

Guru dan pelajar bersama-sama menikmati jamuan makan

Agihan daging qurban kepada kumpulan pelajar

Agihan daging qurban kepada guru dan kejiranan kuaters SDPA
Bagi pihak Pantia Pendidikan Islam SDPA  dan penyeleras program mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada seluruh warga sekolah atas komitmen yang diberikan sehingga melancarkan dan memudahkan gerak kerja program ini dilaksanakan dengan jayanya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua. Semoga Allah SWT sentiasa memayungi kehidupan kita semua  dengan barokah dan rahmat dari sisiNya, sekaligus kita mengharapakan segala usaha dan amal ibadah kita diterima olehNya. Hanya kepada Allah SWT jualah segalanya kita sandarkan supaya menjadi saksi pada  pengabdian diri sebagai hambaNya. Mudah-mudahan program ini akan berterusan pada masa-masa mendatang. Wallahu bihi musta'an. 

Jumaat, 28 Disember 2018

Modul SPM



Kulit buku yang dihasilkan sendiri untuk Modul SPM yang bakal diterbitkan
Semoga Allah swt mempermudahkan segala urusan untuk menerbitkan buku Modul SPM yang bakal diterbitkan. Ini merupakn 'mega projek' yang saya usahakan pada tahun ini setelah sekian lama mendalami kaedah dan pendekatan dalam menyampaikan pengajaran kepada para pelajar. 

Mengkodifikasi kesalahan dalam menulis jawapan pendidikan islam SPM: Tinjauan untuk kelas 5 Teratai

proses pemeriksaan dan penandaan skrip jawapan dijalankan untuk mendapatkan gambaran penguasaan calon dalam topik-topik yang diuji     Dua m...