Jumaat, 27 Februari 2009

PENGURUS INDUK: guru besar dan pengetua sekolah

Peranan guru besar dan pengetua mengemudi sesebuah sekolah memerlukan segenap kemahiran dan ketepatan perangcangan untuk merealisasikan visi dan misi sekolah. Sekolah sebagai pusat pendidikan formal perlu mempunyai sistem perancangan dan pentadbiran yang efektif agar dapat membentuk keperibadian murid khususnya dan warga sekolah secara am. Nilai baik perlu diterapkan sentiasa dalam setiap tindakan yang dilakukan agar menjadi model ikutan kepada kumpulan sasaran ini. Justeru, fungsi pengetua sebagai pengurus dan pentadbir induk dalam sesebuah sekolah perlu diberi penekanan agar dapat menjayakan program pendidikan yang dilaksanakan. 

Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes yang melibatkan murid sering terpapar dalam media massa menunjukkan krisis yang melanda pengurusan sekolah secara umumnya. Walaupun keseluruhannya tidak melibatkan semua sekolah namun ia sedikit mencalarkan imej institusi pendidikan ini. Masalah disiplin dalam kalangan murid seperti yang dilaporkan akhbar adakalanya tidak diberi perhatian yang sewajarnya untuk diatasi. Terdapat segelintir pengetua menyorokkan masalah disiplin murid yang melibatkan jenayah di sesebuah sekolah tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk ditangani bersama. Guru besar dan pengetua berpandangan tindakan untuk melaporkan hal ini akan menjejaskan imej diri dan sekolah. Ironinya, sekiranya masalah sedemikian dipandang remeh hal ini akan menjejaskan langkah menangani masalah ini secara menyeluruh. Laporan akhbar Berita Harian bertarikh 28 Februari 2009 memetik timbalan ketua pengarah pelajaran- Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan guru besar dan pengetua sekolah yang sengaja menyorok perlakuan jenayah. Tambah beliau lagi, pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa lembaga tatatertib untuk mengenakan tindakan yang sewajarnya kepada guru besar dan pengetua sekolah terbabit. Ringkasnya, pengabaian tugas dan tanggungjawab ke atas pengurusan sekolah akan menyebabkan institusi pendidikan ini tidak mencapai matlamatnya sebagai pusat membentuk dan mengembangkan potensi diri yang ideal. 

Selain itu, guru besar dan pengetua perlu sentiasa berbincang dengan kakitangan sekolah bagi menyediakan persekitaran yang kondusif bagi murid. Hal ini dapat direalisasikan dengan adanya kerjasama erat untuk memastikan segala program dan perancangan sekolah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Hubungan baik diantara pengurus utama dan kakitangan yang lain perlu diamalkan setiap waktu bagi menjayakan strategi perencanaan. Hal ini sekaligus, melahirkan sebuah komuniti sekolah yang muhibbah dan harmoni disamping saling menghormati. 

Tuntasnya, tanggungjawab guru besar dan pengetua menyelia serta mentadbir sekolah memerlukan tindakan yang tepat agar dapat memfokus kearah mencapai visi dan misi akademik dan perkembangan jiwa murid. Pengabaian tanggungjawab ini akan memusnahkan pembangunan pendidikan negara yang akhirnya menjejaskan ke arah mencapai matlamat falsafah pendidikan negara untuk melahirkan individu seimbang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mengkodifikasi kesalahan dalam menulis jawapan pendidikan islam SPM: Tinjauan untuk kelas 5 Teratai

proses pemeriksaan dan penandaan skrip jawapan dijalankan untuk mendapatkan gambaran penguasaan calon dalam topik-topik yang diuji     Dua m...