Sabtu, 26 November 2016

KEPERLUAN GENERASI MAHIR PADA MASA HADAPAN

Abad ini sememanganya memerlukan kemahiran setiap individu untuk terus kekal sebagai berdaya saing. Kepesatan teknologi masakini telah membuka seluas-luasnya pelbagai peluang dalam aspek kehidupan manusia sejagat. Jika diambil kira era tahun 80-90an, kita dapat menyaksikan generasi dinilai dari sudut tingginya status akademik yang dimiliki. Hakikat ini telah menjadikan kayu ukur bagi sesorang individu menempatkan dirinya pada sektor profesional yang sekaligus disanjung tinggi oleh masyarakat umum. Namun, peredaran masa telah mengubah situasi itu kepada beralih kepada suatu medan yang memerlukan 'kemahiran' sebagai satu kunci kejayaan pada hari muka. Betapa hal ini telah dapat dibuktikan dengan berbagai laporan massa yang mengetengahkan individu-individu yang berjaya walaupun tidak pernah menamatakan status akademik mereka di universiti. Persona seperti Bill Gate (microsoft) dan Mark Zuckerberg (facebook) menjadi bukti bahawa kelulusan akademik bukanlah suatu yang dapat menghalangi untuk berjaya.  Kedua-duanya telah berjaya mengecapi impian masing-masing bahkan menjadi ikon dalam dunia teknologi masakini.

Namun demikian, tiada siapa yang dapat menafikan akan kepentingan pendidikan diperingkat formal. Iaitu menggali sedalam-dalamnya ilmu diperingkat institusi-institusi pendidikan seperti sekolah, universiti, kolej, program-program latihan dan sebagainya. Hal ini kerana, sudah semestinya institusi-institusi berkenaan mempunyai kurikulum dan silibus yang telah diperakukan oleh badan-badan berautoriti akan keberkesanaan pengisiannya pada masa hadapan. Penyediaan kurikulum itu pula melibatkan pakar-pakar akademik yang terlibat secara langsung dalam perkembangan dunia pendidikan semasa bagi menghadapi peredaran zaman. Justeru, pendidikan diperingkat formal adalah menjadi kemestian buat generasi kini untuk mengembangkan bakat dan kebolehan mereka yang pastinya dapat menjamin survival diri di hari muka.

Juga perlu diingat bahawa proses mendapatkan ilmu adalah berdasarkan kepada pengamatan persekitaran semasa. Ilmu adalah sangat penting bagi tiap manusia. Demikian Allah SWT memperingatkan manusia dalam wahyu pertama surah Al-Alaq ayat 1 berdasar kepada kata IQRA. Namun kata ini bukanlah disempitkan semata kepada 'pembacaan secara teks'  bahkan ini merangkum pembacaan insan terhadap dunia kelilingnya (konteks) - kata TILAWAH juga bermaksud baca (lebiih bersifat kepada teks) (Saiful Nang, 24 Novmember 2016, Mengapa Pendidikan DI Malaysia Mundur?)

Perkembangan pengetahuan berdasarkan penelitian dan pengamatan kepada dunia sekeliling


KEMAHIRAN DIRI DALAM MENDEPANI ZAMAN
Perkembangan dunia industri masakini sudah tentu memerlukan kepada tenaga kerja yang mahir. Oleh itu, setiap individu pada masakini perlu menyiapkan dirinya dengan kepelbagaian kemahiran agar terus dapat beradaptasi dengan setiap perubahan yang berlaku. Apatah lagi pada era teknologi ini,  komunikasi manusia tidak lagi terbatas dan melangkaui jarak sempadan geografi. Membairkan diri untuk terus berada di takuk lama (comfort zone) akan mengakibatkan kita ketinggalan dengan kemajuan kelompok persekitaran dan sekeliling. Hal ini sudah tentu mendatangkan kerugian pada diri dan lingkungan, disebabakan sistem fikir dan kerja masih tertumpu pada corak yang lama. Tegasnya, dunia hari ini memerlukan kepada penambahbaikan (upgrading)  dan pembaharuan (transformation).

Disamping itu, kreativiti dan inovasi juga menjadi pembeza kepada tiap individu. Pola fikir yang terkehadapan menjadi kelebihan dalam memunculkan diri ditengah-tengah arus perkembangan semasa. Kesebatian ilmu dan kemahiran menjadi teras utama dalam penghasilan sesuatu produk (output) yang benar-benar berkualiti tinggi. Parameter kemenjadian ilmu (teori) dan kemahiran (praktis) adalah tertakluk kepada penyelesaian kepada setiap permasalahan yang timbul ekoran perkembangan zaman. Iaitu, kebolehan tiap individu yang mampu menyelesaikan atau mencipta makenisme yang boleh mengatasi tiap permasalahan dalam kehidupan, baik bersifat teknologi mahupun guna tenaga manusia. Sebagai contoh, betapa ilmu yang ditimba melalui pembelajaran secara teorikal daripada sekian banyak buku seperti fizik, matematik, kimia dan sebagainya dapat dicurahkan ke dalam penyelesaian (solving) kehidupan yang berkaitan seperti struktur bangunan, makenikal jentera dan perubatan. Namun, persoalanya adakah ilmu yang datangnya daripada teks buku-buku itu terkait kesemuanya dalam penyelesaian kepada beberapa bahagian sahaja dalam masalah yang dihadapi?. Sudah tentu TIDAK SAMA SEKALI, hanya sahaja ilmu secara demikian adalah lebih berstruktur. Ironinya, letak kemahiran (praktis) lebih banyak diperoleh daripada rangkaian 'pengalaman' seseorang individu. Semakin dia banyak bergaul dan meneliti dengan cermat akan ehwal sekelilingnya semakin bertambahlah pula pengetahuannya dalam menyelesaikan permasalahan. Teori fizik semata-mata sahaja tidak akan memberi makna kiranya pada praktisnya gagal menunjukkan/ membuktikan akan kebenaran teori tersebut.

Perkembangan individu dalam membina kreativiti dan inovasi


Selain itu, kemahiran juga hendaklah ditunjangi dengan niali agama sebagai pembatas agar tidak terkeluar daripada anjuran syariat. Harus ditekankan bahawa kejayaan ciptaan manusia hendaklah bertepatan dengan kehendak syarak supaya setiap daripada hasil kreativiti dan inovasi itu selain memudahkan dan menyelesaikan permasalahan dapat pula memenuhi tuntutan hamba dengan Allah SWT. Tiadalah erti sebuah kejayaan sekiranya sifat kehambaan kepada Allah SWT sebagai pemilik dan maha berkuasa telah sirna dalam diri individu. Kerana kehidupan semata didunia ini pasti akan berakhir jua, sedang kehidupan abadi yang baik diakhirat kelak tergantung dengan amal kebajikan semasa di dunia ini. Ringkasnya, setinggi mana kehebatan hasil produk (output) ciptaan manusia misalnya yang berteknolgi tinggi (high tech) sangat perlu juga nilai pada sesuatu produk itu memiliki peranan dalam membangun ummah sejagat (human touch).  


Kesebatian teori dan praktis menghasilkan output bermutu tinggi



KONKLUSI
Generasi kini perlu kepada segenap persiapan andainya ingin survival bagi menempuh cabaran perkembangan zaman. Justeru, ilmu dan kemahiran amat diperlukan bagi menghadapi segala yang mungkin pada masa akan datang. Rangkaian pengalaman yang mematangkan dilihat sebagai suatu nilai tambah dalam memajukan diri pada era ini. Perubahan gaya hidup manusia yang tidak lagi terbatas dengan sekatan sempadan geografi bahkan pengetahuan mereka juga telah beralih ke peringkat global memungkinkan sahaja setiap individu mampu mencipta peluang dan mengukir kejayaan. Namun, hakikat elemen agama, budaya dan adat resam yang menunjukkan nilai sahsiah yang tinggi tidak harus dikuburkan dengan perkembangan ini. Sepatutnya elemen ini perlu dibumikan dalam setiap penerokaan ilmu dan kemahiran dalam diri individu agar kelestarian citra bangsa mampu terserlah sekaligus mengangkat martabat syiar ilahiah. Ringkasnya, zaman terus berubah namun generasi kini masih mampu merencana dan mencorakkan akan apa yang perlu dilakukan pada hari muka untuk dunia terus sejahtera dan makmur sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.     


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mengkodifikasi kesalahan dalam menulis jawapan pendidikan islam SPM: Tinjauan untuk kelas 5 Teratai

proses pemeriksaan dan penandaan skrip jawapan dijalankan untuk mendapatkan gambaran penguasaan calon dalam topik-topik yang diuji     Dua m...