Khamis, 17 Mei 2018

Demokrasi dan Rakyat

Kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara didokong oleh kepaduan rakyat dalam membangun negara secara bersama. Pilihanraya umum merupakan wasilah  untuk mencapai maksud tersebut melalui keyakinan rakyat yang diberikan kepada para pemimpin pilihan masing-masing supaya boleh diangkat diperingkat nasional. Suara rakyat yang diterjemahkan melalui kertas undi akan menentukan teraju utama dalam sesebuah negara dalam menentukan perancangan, perkembangan dan pertumbuhan negara pada masa mendatang. Jelasnya, hal ini telah tertunai pada tanggal 09 Mei 2018 diseluruh pelosok negara yang memperlihatkan rakyat jelata (yang layak memimilih) keluar bersama-sama ke pusat-pusat pengundian untuk melunaskan tanggungjawab massing-masing.

Kini, keinginan rakyat telah tertunai dengan pembentukan sebuah kerjaaan yang sah. Proses pemilihan pemimpin yang lancar merupakan suatu anugerah buat rakyat negara ini. Pentadbiran yang telus dan beritegriti merupakan dambaan seluruh rakyat di mana-mana negara. Justeru, sikap bertangungjawab dalam kalangan pemimpin adalah kunci kepercayaan rakyat yang diletak ke atas pemimpin. Hal ini demikian kerana, nilai integriti merupakan asas utama dalam sesebuah pentadbiran yang telus dan ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan negara supaya setiap langkah perancangan serta pembagunan negara memberi manfaat yang besar secara keseluruhannya. Pengurusan yang cekap dan berhemah menjamin pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing dan kestabilan politik yang matang,  di mana kesannya keyakinan pelabur luar akan meningkat yang sudah pasti akan meletakkan negara pada kedudukan yang selamat di pentas antarabangsa.

Kemelut negara sebelum ini yang dibayangi oleh hutang yang meningkat dan gejala rasuah menjadi titik tolak kebangkitan suara rakyat. Kegelisahan rakyat yang dihantui kos kehidupan yang kian meningkat menjadi suara dalaman yang mendesak bahawa perubahan mesti dilakukan. Hasilnya telah diterjemahkan dalam proses pilihanraya yang pada akhirnya memberi kecundang kepada parti yang telah berkhidmat selama enam dekad di tanahair ini. Penyebaran maklumat melalui media masakini yang dilihat menjadi ruang kepada rakyat untuk mengikuti sebarang info dalam dan luar negara berjaya membentuk kefahaman dan persepsi yang berbeza-beza. Kesannya, pendirian rakyat mula terbentuk untuk dimanifeatasikan dalam pilihanraya yang diadakan.

Kini  (21 Julai 2018 - keitka tulisan ini disambung semula) kerajaan baharu memasuki 70 hari menjalankan urus tabir negara. Janji manifesto untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah dikotakan. Isu GST ini adalah diantara beberapa isu yang sering mendapat perhatian rakyat semenjak ia dilaksanakan dengan gambaran yang diberikan ialah meningkatkan harga barang pada umumnya. Pelaksanaannya telah memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat yang menyifatkannya sebagai suatu bebanan yang tidak adil kepada pengguna akhir, tambahan pula ia menjadi kepertian yang mendalam kepada rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti nelayan, petani dan buruh khususnya di kampung-kampung. Walaupun pada hakikatnya kerajaan terdahulu mencetuskan pelaksanaannya untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mapan. Namun, penerangan yang tidak menyeluruh dan kemungkinan terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan, maka ia kelihatan tidak munasabah untuk dilaksanakan sama sekali - kefahaman rakyat gagal dibentuk.

Rabu, 2 Mei 2018

MEMILIH

Dalam kehidupan seharian manusia perbuatan memilih adalah diantara tindakan yang sering dilakukan sebagai langkah untuk memudahakan aturan kehidupan yang lebih sempurna. Maka tindakan memilih adalah kewajipan yang tidak dapat dipisahakan daripada perancangan manusia untuk mendapatkan 'hasil' yang dimatlamatkan. Dengan tindakan memilih yang betul berdasarkan dengan pengetahuan semasa akan menatijahkan satu keputusan (hasil) yang menguntungkan.

Ketika ini PRU14 menjadi topik pembicaraan masyarakat menjelang hari pengundian yang telah dimuktamadkan pada 09 Mei 2018. Suasana berkempen sedang giat dijalankan oleh parti-parti yang bertanding pada pilihanraya kali ini dengan menjaja manifesto masing-masing kepada rakyat supaya diberi peluang untuk mengemudi negara sekaligus menunaikan janji untuk membela nasib rakyat. Justeru, parti-parti ini akan sedaya upaya menarik hati rakyat dengan membawa kepada janji pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat samada ada di peringkat nasional mahupun tempatan.

Bagi rakyat pula, mereka akan menilai sejuahmana keluhuran baka-bakal wakil rakyat yang akan mewakili mereka untuk memperjuangkan nasib mereka dengan harapan para pemimpin ini akan mengotakan janji yang telah ditawarkan semasa berkempen. Sungguhpun demikian, rakyat (masyarakat) akan terus membicarakan kekuatan kecenderungan mereka untuk memilih parti yang dipilih mereka. Justeru keadaan ini akan memperlihatkan dua kelompok masyarkat mejelang pilihanraya. Di satu kelompok mempertahankan kerajaan (parti kerajaan) sedia ada yang memerintah, sementara di kelompok yang lain memilih untuk menyokong pihak lawan (parti pembangkang). Kelompok ini akan terus berbicara sambil  mengkritik diantara satu sama lain.

Sandaran rakyat dalam membuat keputusan memilih pemimpin adalah berdasarkan tafsiran mereka terhadap isu semasa yang diperolehi menerusi pelbagai saluran media. Sama ada isu tersebut berkait dengan pentadbiran negara mahupun menyentuh keperluan hidup seharian. Justeru, tidak hairanlah dalam suasana menjelang pilihanraya akan timbulnya pelbagai 'cerita' yang tidak dapat dipasitkan kesahihannya.

Walau bagaimanapun, pemilihan parti untuk diberi mandat menerajui kepimpinan negara mahupun negeri haruslah fokus kepada kekuatan, integriti dan kebolehan melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Pemimpin adalah watak utama yang akan merencana pembangunan serta kemajuan masyarakat dan negara. Justeru, mereka seharusnya dinilai dengan prestasi yang  benar-benar meyakinkan ke arah mewujudkan kesejahteraan hidup sesebuah masyarakat. Hal ini merangkumi aspek pembangunan intelek dan prasarana masyarakat. Pembangunan insani akan memberikan impak positif dalam melonjakkan sesebuah masyarakat ke tahap yang lebih tinggi, manakala penyediaan prasarana yang mencukupi akan memberi kemudahan urusan harian masyarakat. Demikianlah peranan yang sewajarnya dimainkan oleh para pemimpin agar kestabilan politik kekal terjamin sepanjang masa.

Keluhuran budi pekerti dikalangan pemimpin juga menjadi aset berharga untuk memenangi hati rakyat. Kepimpinan yang dicerminkan melalui akhlak yang baik akan mempengaruhi rakyat yang diwakili. Karisma kepimpinan dan berpolitik harus dijelmakan dengan nilai kesantunan yang tinggi. Hal ini demikian kerana, pemimpin adalah ketua yang menjadi ikutan dalam sesebuah masyarakat sekaligus akan mencorakkan sikap dan pekerti rakyatnya. Bagi rakyat pula, ketinggian budi dikalangan pemimpin akan menjadi sandaran keyakinan mereka dalam memilih wakil rakyat yang akan mewakili mereka. Justeru, keterujaan berkempen oleh para individu yang bertanding dalam pilihanraya perlu diwaspadai agar tidak menampakkan kejelikan akhlak di hadapan masyarakat.

Kesimpulannya, hak memilih pemimpin yang akan datang haruslah diberi peritmbangan sewajarnya dengan mengambil kira kebolehan mereka menterjemahkan amanah yang telah diberikan. Kepimpinan yang didasari dengan sifat ketelusan serta integriti dalam memperjuangkan nasib rakyat akan memberikan kesan kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarkat disamping kestabilan politik yang akan membangunkan kemajuan negara di pentas dunia.

Selasa, 1 Mei 2018

PENYELIDIKAN

Memahami segala yang berlaku disekeliling kehidupan mahupun fenomena alam adalah berdasar kepada logika semata yang dianalisa menerusi kefahaman/ pengetahuan sedia ada. Namun segala yang berlaku sehigga menimbulkan sebab-akibat (kausaliti) perlu kepada suatu kaedah yang benar-benar dapat dipercayai, sistematik dan komprehensif sehingga merumuskan keputusan (result) yang dapat diaplikasi dan diterima. Proses unutk mendapatkan jawapan terhadap sesuatu yang disiasati difahami sebagai satu kerja penyelidikan. Ia memerlukan kepada kecermatan, ketelitian, tidak bias dan menyeluruh. Justeru, gerak kerja ini adalah dilandaskan dengan suatu tindakan kerja empirikal yang melihat kepada teori yang diketengahkan, lalu diuji degan kaedah tertentu untuk membuktikan kebenarannya (theory accepted).

Bermula dengan dengan mencetuskan suatu isu, penyelidik mampu merangka model penyelidikannya untuk mendapatkan jawapan akhir. Perkara yang perlu ditekankan pada peringkat awal ialah kefahaman yang jelas dalam isu yang dibangkitkan (Deteremine issue) supaya penyelidik itu sendiri tidak terkeluar daripada objektif asal kajiannya. Disamping itu, dapat mengelakkan dirinya daripada membincangkan perkara-perkara tempelan yang tidak dianggap penting untuk dimuatkan dalam penyelidikannya. Keutamaan pada peringkat ini adalah dengan menentukan sebab-akibat dalam hal isu yang dibangkitkan seterusnya mereka pendekatan yang sesuai yang terkait secara langsung dalam persoalannya. Adalah menjadi tangunggjawab kepada bagi tiap-tiap penyelidikan yang dilakukan untuk menghasilkan suatu dapatan yang sahih tanpa mendatangkan ketidakjelasan (misconception). kerangka penyelidikan yang utuh dengan ditunjangi sumber primer dan sekunder menjadi titik tolak kepada kesahihan dapatan. Sungguhpun demikian hasil dapatan mungkin akan berubah kebolehpakaiannya sesuai peredaran masa yang diisi dengan keperluan-keperluan semasa.

Walau bagaimanapun, kerja penyelidikan hendaklah diteruskan dari masa ke semasa bagi menjawab dan menyelesai segala isu yang berbangkit. Sementelah konsep keilmuan dalam islam yang meninjau segenap keperluan serta permasalahan ummah juga mengunapakai ijtihad - iaitu bersandar dengan fatwa/ pandangan ulama terhadap sesuatu hukum dengan didasari petunjuk al-quran dan hadis serta qaul muktamad dalam konsensus para salafussoleh. Justeru, penyelidikan akan terus berlaku dan kebolehpakaiannya adalah tertakluk kepada kesesuaian semasa demi menyelesai isu yang telah dikenalpasti.

Dinamika penyelidikan sewajarnya dilandasi dengan pengisian yang membawa kelompok masyarakat kepada suasana yang kondusif. Mencari solusi bagi sesuatu isu hendaklah dilakukan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat kelompok. Ia tidak boleh dilakukan dengan sewenangnya sehingga mencabut nilai estetika cara hidup, budaya dan pola fikir masyarakat. Oleh hal yang demikian, penyelidikan hanyalah sebagai suatu hasilan yang akan menerangkan kaedah untuk menambah baik aspek-aspek tersebut.


Ahad, 22 April 2018

Bisikan Bambu (Cetusan ilham dari alam)


Mencurahkan ilham dari benak hasil memerhati kedalam diri. Bertaut seni kata dengan seni letak grafik. Untuk mengisahkan pengalaman yang dirasai saat dikurnia segala bentuk nikmat. Kepada yang Esa jualah setiap jiwa menyerahkan segala-gala urusan hidup. Menunjangkan segala pengharapan supaya beroleh redha dan barokah dariNya.

Selasa, 12 Disember 2017

HAPUSKAN KEBIMBANGAN

Hari-hari yang dilalui tidak pernah lepas dengan perasaan khuatir, bimbang, takut, gelisah dan sekian banyak lagi perasaan yang seakan membayangi tiap gerak tindak kita sebagai manusia. Ya, memang benar bahawa perasaan demikian adalah fitrah yang sedia ada pada tiap jiwa yang bergelar manusia. Justeru, perencanaan dalam kehidupan adakalanya terhalang oleh 'rasa' negatif ini seandainya ia tidak diuruskan dengan sebaiknya. Demikianlah uniknya kejadian manusia yang dilengkapi dengan segala bentuk anggota badaniah dan sifat rohaniah yang dapat menyempurnakan hidupnya dalam beradaptasi dengan alam sekeliling.


Dengan mengambil beberapa contoh dalam kehidupan. Misalnya, seseorang dapat memperoleh ilham melalui perhatiannya terhadap sekitarnya menerusi fenomena alam semulajadi, karenah masyarakat, pengalaman hidup untuk menghasilkan sesebuah karya. Demikan juga ada dikalangan kita memperoleh idea menerusi penyelidikan yang mendalam terhadap sesuatu permasalahan dalam kehidupan ini, lalu hasil dapatanya dapat dijadikan solusi kepada permasalahan  tersebut. Ringkasnya, segala-galanya adalah disebabkan pencerapan manusia dengan 'perasaan' dan taakulan akal yang telah dianugerahi sebagai aset paling berharga yang diberikan Allah SWT.

Perasaan dalaman juga menjadi foktor yang cenderung mempengaruhi pola fikir dan gerak laku manusia. Khayalan perasaan negatif yang tifak dibendung akan menatijahkan keburukan dalam kehidupan ini. Hasilnya, berbagai masalah bakal timbul ekoran desakan naluri yang tidak terkawal disebabkan ketakukan, kekhuatiran, kebimbangan dan prasangka. Justeru, perkara buruk yang sering difikirkan bisa berlaku secara realiti andainya tidak dikawal. Hal ini demikian kerana, Allah SWt telah menegaskan dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim , Tirmizi dan Ibnu Majah.

Mafhum hadis di atas, menerangkan kepada kita bahwa Allah SWT bertindak mengikut sangkaan hambaNya. Allah SWT sudah pasti akan sentiasa bersama hamba-hambaNya. Justeru jiwa manusia yang sentiasa mengingati Allah SWT dalam segenap kehidupannya akan sentiasa mendapat naungan rahmat Allah SWT.

Dale Carnegie (1948) dalam bukunya how to stop worrying and start living  menyatakan faktor kebimbangan sekiranya tidak dikawal dan dibendung dengan sebaiknya akan memusnahkan segala impian hidup yang dicitai. Akibatnya, hal ini bukan sahaja meranapkan segala cita-cita bahkan kesihatan fizikal juga turut terjejas. Berdasarkan peneliitan beliau juga perasaan bimbang meningkatkan risiko yang dapat menjejaskan kesihatan seperti ulser perut, penyakit saraf dan neurotik - iaitu sejenis penyakit yang mengakibatkan kerosakan mental. 

Justeru, pekara utama yang dapat mengatasi masalah kebimbangan kronik sudah tentu berbalik kepada ajaran agama (islam) yang murni. Penghayatan terhadap agama yang mendalam diakui memberi kesan kepada peribadi setiap manusia. Hal ini adalah jelas menunjukkan bahawa setiap ajaran islam membawa kepada pengabdian diri kepada Allah SWT - Tuhan sekalian alam. Menerusi amalan yang ditunjukkan utusan Allah SWT, nabi Muhammad Saw sehinggalah kepada apa yang ditunjukkan oleh para ulama sudah pasti akan menjadikan segenap aspek kehidupan ini menjadi mudah dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. Agama adalah jalan kehidupan yang meraikan fitrah manusiawi yang memenuhi segala keperluan di muka bumi ini. Persoalanya, sejauhmanakah kita dapat menghayati syariat murni agama ini untuk membebaskan diri daripada keterikatan kepada dunia semata-mata.

Pergantungan sepenuhnya kepada dunia semata akan hanya membinasakan diri. Kekhuatiran yang dimainkan oleh perasaan adalah berpunca dari hawa nadsu yang tidak tersimpul erat dengan tali iman dan takwa. Oleh itu, pasrah serta redha dengan apa yang berlaku adalah menjadi pengimbang untuk mengatasi perasaan bimbang dan takut. Degan berserah diri kepada Allah SWT sepenuhnya akan meletakkan hati menjadi tenang.





Sabtu, 2 Disember 2017

CABARAN REMAJA MASAKINI

Pagi Jumaat 27 Oktober 2017, saya telah diberikan ruang masa untuk berbicara kepada para pelajar dalam program pasca PT3 yang dikendalikan oleh Unit Bimbingan Kaunseling (UBK) sekolah yang lebih bersifat perkongsian dan tazkirah kepada para anak-anak didik ini. Walaupun kehadiran murid pada minggu selepas peperiksaan ini tidak seperti hari-hari persekolahan biasa, namun saya perhatikan dikalangan kelompok ini masih terdapat mereka yang memiliki semangat  dan pengetahuan sedia ada akan kepentingan memanfaatkan masa untuk diisi dengan aktiviti yang mendatangkan faedah.


Juseru, dalam slot bicara saya kepada mereka, saya menekankan tentang persediaan yang perlu ada bagi genarasi muda seperti mereka untuk menghadapai persaingan hebat yang menanti di luar sana. Saya mengatakan kepada mereka supaya mengambil berat soal akademik disamping memahirkan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu supaya dapat digunakan pada kemudian hari. Dikalangan mereka tidak menafikan apa yang saya bentangkan kepada mereka. Saya menjelaskan bahawa abad ini memerlukan seseorang bukan sahaja dinilai daripada keputusan akademik yang cemerlang semata-mata bahkan aspek kemahiran kendiri juga dijadikan kayu ukur kebolehgunaan seseorang dipasaran kerjaya. Dalam soal ini remaja perlu menumpukan segala perhatian mereka kepada perkara yang dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan soft skill (nilai tambah) supaya kematangan fikiran dan tindakan dapat disemai dengan utuh dalam keperibadian mereka. Justeru, daya saing dalam kelompok ini akan terus membara untuk menempa kejayaan pada hari muka.

Disaming itu, keutamaan akhlak mulia dalam kehidupan juga saya berikan penekanan. Saya menyatakan bahawa kejayaan yang dikecapi tidak akan bererti tanpa mempamer akhlak yang terpuji. Menyedari kerancuan golongan muda mudi saat ini yang semakin parah akibat pelbagai faktor yang saling berkaitan misalnya kurangnya perhatian daripada ibu bapa, kurang didikan agama, faktor sosioekonomi dan pengaruh media. Saya tegaskan bahawa keperibadian mulia akan menjadikan kita dihormati oleh masyaraka juga segala amal yang kita kerjakan sentiasa mendapat barakah dan rahmat dari Allah SWT. Sahsiah ibarat buah yang ranum lagi masak hasil dari anak benih yang disemai dan dijagai dengan sebaiknya.


Ilmu pengetahuan sahaja tidak mencukupi sebagai bekalan dalam kehiduapan ini. Justeru, keperbadian yang luhur adalah cerminan kepada hati manusiawi yang suci kerana dengannya kefahaman dan amalan (baca: praktis) berpadu sebagai sinergi yang menyuburkan kesejahteraan dan keamanan dalam penghidupan kelak. Sekaligus hal demikian adalah selaras dengan tuntutan syariat agama yang menatijahkan balasan baik pada hari kebangkitan kelak. Lebih-lebih lagi agama islam memandang kesempurnaan akhlak adalah menjadi tunjang kepada ketakwaan dan iman kepada setiap mulsim yang mengabdikan seluruh kehidupan kepada Allah SWT.

Perkongsian pengalaman semasa menuntut ilmu dikala usia muda saya selitkan dalam memberikan buah nasihat kepada anak-anak didik ini. Pada saya pengalaman baik yang diperturunkan boleh dijadikan tauladan oleh kumpulan ini dan disesuaikan dengan zaman mereka. Gagasan pernyataan saya kepada mereka adalah suapaya mempergunakan segala kesempatan yang ada demi memajukan diri bagi memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Harapnya segala bicara yang telah perkongsikan kepada mereka menjadi bekal ingatan untuk dijadikan panduan dalam memajukan diri seawal usia muda remaja mereka ini. Kerana bagi kumpulan ini, kepada merekalah kita menaruh harapan untuk menyambung kegemilangan kejayaan-kejayaan yang boleh dibanggakan suatu masa kelak.

Wallahu a'lam bissawab...





Isnin, 11 September 2017

MENCARI DAMAI DI DUNIA

Gambar sekadar hiasan

Keakraban persahabatan adalah menjadi kelebihan pada mana-mana individu dalam kelompok masyarkat. Persahabatan adalah pertalian yang diikat dengan dasar mengenali antara satu sama lain. Dengan erti kata, saling berbagi budi serta bakti baik dikala dalam keadaan susah mahupun senang. Sahabat adalah insan yang berhak mendapat sanjungan daripada sebuah perhubungan manusia kerana sosok sahabat dapat melakar berbagai onak pengalaman dalam lukisan kehidupan yang diharungi secara bersama. Justeru dalam pertalian yang ditauti dengan rasa persaudaraan, mahabbah dan saling toleransi dapat memakmurkan kehidupan manusia itu sendiri di atas muka bumi ini.

Sahabat yang baik adalah yang dapat membetulkan kesilapan rakannya. Sosok insan seperti ini akan menjadi cermin peribadi yang akan menilai dan membetulkan kekhilafan rakan yang didampingi. Perilaku sebegini akan mencetuskan sahsiah murni dalam kalangan masyarakat seluruhnya. Hal ini akan menjadi kelebihan dalam sebuah perhubungan manusia samada melibatkan sikap kerjasama, komunikasi dan pergaualan sosial. Dengan erti kata, nilai-nilai murni peribadi akan sentiasa menjadi keutamaan dan panduan dalam kehidupan seharian, umpama flora indah yang sentiasa menceriakan suasana alam sekitar.

Seorang sahabat yang sentiasa memperingatkan rakannaya untuk melakukan amalan kebaikan adalah sahabat sejati. Perlu ditegaskan, bahawa kehadiran insan yang rapat dan akrab dalam lingkungan hidup akan berpengaruh dalam pembentukan sikap dan watak seseorang. Justeru hal ini akan menjadi medium loncatan prestasi bagi memajukan kehidupan. Berkawan dengan tukang besi akan maka akan mendapat bau besi, sementera berkawan dengan pedagang minyak wangi akan turut terpalit wangian itu. Demikianlah pepatah telah menyebutkan.

Ikatan persahabatan lahir daripada banyak faktor. Persaudaraan seagama, persamaan ideologi, kesatuan dalam bangsa dan negara diantara parameter yang sering menjadi rujukan dalam kumpulan manusia. Justeru, tidak hairanlah manusia sebagai makhluk bersosial dapat meluaskan perkembangan perhubungannya merentas wilayah kediaman masing-masing. Hal ini seterusnya mewujudkan biodiversiti dan hegemoni kewujudan sesebuah masyarakat yang menghuni ruangan bumi. Oleh hal yang demikian, dapatlah kehidupan diuruskan mengikut keperluan dan maslahat semasa yang dapat memberi makna dalam menjalani kehidupan ini.

Justeru, ungkapkanlah rasa persahabatan dengan segala bentuk nilai murni dan susila yang unggul. Agar dengan perhubungan itu akan menjadikan kehidupan meraih bahagia penuh makna serta sejahtera berisi mahabbah. Malah hidup bermasyarakat juga akan saling melengkapi antara satu dengan yang lainnya.




Mengkodifikasi kesalahan dalam menulis jawapan pendidikan islam SPM: Tinjauan untuk kelas 5 Teratai

proses pemeriksaan dan penandaan skrip jawapan dijalankan untuk mendapatkan gambaran penguasaan calon dalam topik-topik yang diuji     Dua m...